Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes Bukit Cherakah: Prosiding permohonan kebenaran dua NGO ditangguh
Diterbitkan:  Jul 11, 2024 6:17 PM
Dikemaskini: 10:17 AM

Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan pendengaran rayuan dua badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin memperoleh kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Kerajaan Negeri Selangor menyahwartakan Bukit Cherakah sebagai hutan simpan.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera membuat keputusan itu selepas dimaklumkan bahawa peguam kedua-dua NGO iaitu Rajesh Nagarajan serta Sachpreetraj Singh Sohanpal tidak dapat menghadiri prosiding hari ini.

Peguam B Ambbi Sundrambal, yang hadir bagi pihak Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) dan Shah Alam Community Forest Society (SACF), memaklumkan panel itu bahawa Rajesh cuti sakit manakala Sachpreetraj perlu menguruskan perkara lain.

Pada 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan kedua-dua NGO untuk kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan Kerajaan Negeri Selangor yang menyahwartakan 406.22 hektar hutan simpan Bukit Cherakah.

Pada 24 Jan lepas, Mahkamah Rayuan menolak permohonan mereka atas alasan semakan kehakiman itu difailkan di luar tempoh yang dibenarkan.

Kedua-dua NGO mendakwa adalah menyalahi undang-undang untuk Kerajaan Negeri Selangor mengundurkan tarikh sesuatu warta dan memaklumkan bahawa satu keputusan telah dibuat berhubung penyahwartaan itu pada 20 Nov 2000.

Mereka mendakwa warta itu disiarkan pada 5 Mei 2022 iaitu 22 tahun selepas keputusan untuk menyahwartakan Bukit Cherakah dibuat.

Mereka menamakan Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Pengarah Jabatan Perhutanan Selangor, Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, YCH Development Sdn Bhd, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor and Restu Mantap Sdn Bhd selaku reponden dalam semakan kehakiman itu.

Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri Khairul Nizam Abu Bakar hadir bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Pengarah Jabatan Perhutanan negeri serta Pejabat Daerah dan Tanah Petaling.

Peguam Ng Ka Choon dan Low Jiah Yee mewakili YCH Development, Ganapathi Ramasamy mewakili Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, John Wong Yok Hon mewakili Restu Mantap manakala Kiu Jia Yaw dan Abhilaash Subramaniam hadir bagi pihak Majlis Peguam sebagai sahabat mahkamah.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS