Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Teresa: DAP diminta jangan menonjol di beberapa PRK
Diterbitkan:  Jul 11, 2024 4:50 PM
Dikemaskini: 8:52 AM

Naib Presiden DAP Teresa Kok menolak dakwaan bahawa partinya itu seharusnya dipersalahkan atas kekalahan kerajaan gabungan Pakatan Harapan-BN pada pilihan raya kecil (PRK) Sungai Bakap, 6 Julai lalu.

Dalam temu bual dengan Utusan Malaysia, ahli parlimen Seputeh itu berkata DAP malah telah diminta oleh beberapa ahli gabungan itu supaya tidak terlalu menonjol.

“Kami punya rakan dalam gabungan politik yang sama minta kami jangan buat ceramah, jangan terlalu menonjol kerana bila kami buat ceramah, ramai orang datang.

“Jadi, bila hanya 47 peratus Cina keluar mengundi dalam PRK Sungai Bakap, ada veteran Umno pula cakap DAP perlu bertanggungjawab.

“Padahal ia bukan salah kami. Apa kita boleh buat? Kita tidak boleh masuk kampung, kena halau. Mereka mahu kita tidak menonjol, kita buatlah. Ini adalah tanda hormat kepada rakan parti,” kata Kok.

Dia mendakwa DAP kini telah berubah dan cuba memenangi lebih banyak kawasan berbilang kaum, dengan merujuk kemenangan parti itu pada pilihan raya kecil Kuala Kubu Baharu, yang hanya mempunyai 30 peratus pengundi Cina.

“Sekarang ini mahu DAP dilihat sebagai parti untuk semua orang Malaysia. Lagu parti ini, jika diperhatikan lirik juga untuk semua rakyat Malaysia.

“Pun begitu, ia bukan mudah kerana selama ini bila dilahirkan sebagai Melayu sudah diberitahu Cina jahat, DAP ini jahat, komunis walaupun ketika itu mereka ini tidak tahu apa itu komunis.

“Semua ini dicampur adukkan sebagai anti Islam, anti Melayu. Tidak mudah bagi kami untuk menangi hati masyarakat Melayu khususnya di luar bandar,” katanya.

Susulan kekalahan Sabtu lalu, veteran Umno menuding jari terhadap DAP.

Mustapha Yaakub

Setiausahanya, Mustapha Yaakub berkata Umno telah melakukan yang terbaik untuk membantu PH namun mendakwa tidak bagi DAP.

Kerusi Sungai Bakap kekal di tangan Perikatan Nasional (PN) dengan peningkatan majoriti. Peratusan keluar mengundi yang lebih rendah juga membawa padah kepada PH.

Sehubungan itu, Kok menggesa analisis yang sewajarnya oleh kerajaan campuran untuk menentukan sebab sebenar kekalahan mereka.

“Dilema yang kita hadapi apabila ada orang seperti Dr Muhamad Akmal Saleh (Ketua Pemuda Umno) yang setiap minggu mengeluarkan kenyataan berbau rasis, yang hentam DAP dan sebagainya sehingga kami tidak boleh diam lagi, terpaksa balas balik sehingga dilihat kedua-dua parti ini seperti bergaduh.

Dr Muhamad Akmal Saleh

“Kalau kami tidak balas, kami disifatkan oleh masyarakat Cina dan India sebagai parti `diam-diam’. Bila gaduh macam dulu dengan Umno, Pemuda Umno, kami dilihat oleh orang Melayu sebagai biadab dan rasis,” katanya.

Kok membuat kesimpulan bahawa keadaan ini menunjukkan ketidakstabilan dalam kerajaan campuran sekarang dan memberi amaran bahawa jika ia berterusan, ia akan menjadi sukar untuk mengekalkan perpaduan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS