Disebut-sebut antara individu yang bakal menjadi calon PN di pilihan raya negeri (PRK) Nenggiri, Sheikh Razali Sheikh Hamad berkata, dia bersedia mengambil tanggangjawab itu sekiranya diberi peluang.
Buat masa ini, menurutnya, pengumuman rasmi akan dibuat oleh kepimpinan tertinggi yang dijangka pada minggu depan.
"Kita akan akur dan ikut apa jua keputusan parti.
"Jika diberi peluang dan ruang saya sedia untuk galas tugas ini," katanya yang juga ahli Bersatu ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Nenggiri dilangsungkan pada 17 Ogos depan dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 3 dan 13 Ogos.
Kekosongan luar jangka kerusi Nenggiri berlaku selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri Mohd Azizi Abu Naim pada 13 Jun lepas.
Pada pilihan raya negeri (PRN) tahun lalu, kerusi DUN Nenggiri dimenangi Mohd Azizi dengan majoriti 810 undi menewaskan penyandangnya dari Umno, Ab Aziz Yusoff.
Dalam pada itu, usahawan berusia 51 tahun terbabit berkata, jika terpilih dia akan memberikan komitmen terbaik dalam usaha memastikan kerusi berkenaan tidak terlepas ke tangan pihak lawan.
"Insya-Allah saya akan berkerja keras jika diberi mandat," katanya yang juga bekas ketua Pemuda Umno Gua Musang.
Terdahulu media melaporkan, Razali antara tiga calon yang dilihat berpotensi bakal menjadi taruhan Bersatu pada PRK terbabit.
Dua lagi nama yang disebut ialah Ketua Bersatu Kuala Krai, Zulfaqar Dahalan dan bekas Timbalan Ketua Bersatu Gua Musang, Che Ariffin Hussin.
Bersatu dilaporkan akan membuat pengumum calon pada minggu depan.
Bagaimanapun perkembangan itu berlaku seiring dengan desakan daripada PAS agar kerusi tersebut diberikan kepada calon parti berkenaan.
Antara pihak yang membuat gesaan tersebut ialah Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Nuridah Salleh, yang menegaskan agar calon yang sesuai wajar diberi laluan bagi mengelakkan berulangnya "kesilapan lalu."