Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman memfailkan writ saman bagi membatalkan pemecatannya daripada Bersatu.
Suhaili membuat pemfailan tu di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 1 Julai lalu.
Dia mendakwa pemecatannya salah di sisi undang-undang, atas dakwaan ia dikenakan hanya kerana dia menyuarakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Dia juga berkata dinafikan hak untuk didengar dan untuk mendapat prosedur yang adil.
"Plaintif menegaskan Bersatu telah mengabaikan usaha-usaha dan dedikasi yang ditunjukkan olehnya kepada Bersatu dengan mencurahkan usahan-usahanya pada PRU lalu untuk memastikan kemenangan Bersatu di Labuan.
"Tanpa sumbangan-sumbangan dan usaha-usaha plaintif, Bersatu tidak akan memperolehi kerusi Labuan dan akan kekurangan satu kerusi di Parlimen.
"Dengan menggantung plaintif secara salah di sisi undang-undang, Bersatu telah menafikan haknya sebagai seorang ahli Parlimen untuk menyatakan pandangannya secara bebas tanpa rasa takut atau pilih kasih. Pada setiap masa yang material, Plaintif menegaskan bahawa pernyataan sokongannya kepada perdana menteri bukanlah satu tindakan yang meninggalkan Bersatu," kata Suhaili dalam pernyataan tuntutannya.
Pernyataan itu turut menyatakan, Suhaili mengisytiharkan sokongan kepada Anwar atas Hasrat mendapat peruntukan daripada kerajaan persekutuan untuk Labuan.
"(Ekoran pemecatan daripada Bersatu) Plaintif telah mengalami kerugian dan kerosakan dan telah menghadapi penghinaan," katanya lagi.
Suhaili menuntut beberapa relif, termasuk pengisytiharan bahawa pemecatannya salah di sisi undang-undang dan tidak sah.
Dia turut menuntut ganti rugi am, punitif dan teladan, serta bayaran balik penuh yuran keanggotaan seumur hidupnya kepada Bersatu.