Ahli Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) yang belum menerima bayaran jualan saham mereka sejak tahun lalu akan mula menerimanya dalam tempoh enam ke sembilan bulan.
Pengerusi Felda, Ahmad Shabery Cheek memberi jaminan itu selepas KPF mencairkan lebih RM200 juta sahamnya.
“Ada kira-kira 10 anak syarikat FGV (Felda Global Ventures) yang KPF ada pegangan saham minoriti, yang tak begitu memberi kesan yang besar tetapi boleh dicairkan.
“Misalnya, FGV mengambil alih pegangannya dan itu akan memberi pulangan kira-kira RM208 juta dalam perkiraan kita.
“Itu saja cukup untuk selesaikan tuntutan mereka yang mahu keluar daripada KPF,” katanya.
Bekas menteri Umno dari Terengganu itu justeru berkata “tiada isu” dalam perkara itu.
“Yang penting, sebagaimana yang kita sebutkan, KPF bukanlah sebuah koperasi yang berpenyakit, hutang banyak, tetapi dia ada sandaran aset yang besar,” katanya.
Shabery berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan KPF ke 43, di Kuala Lumpur, hari ini.
Turut serta dalam sidang media itu adalah Pengerusi KPF Faridah Ahmad.
Mei lalu, sekumpulan anggota KPF menyerbu pejabat itu di Jalan Semarak Kuala Lumpur bagi menuntut penjelasan mengenai kelewatan pembayaran jualan saham dan dividen sejak tahun lalu.
KPF kemudian memberi jaminan akan menyelesaikan bayaran jualan saham anggotanya dari bulan Feb hingga Julai 2023 menjelang akhir Mac 2024–tiga bulan lalu.
Bagi jualan saham selebihnya, koperasi itu memaklumkan bayaran akan dibuat secara berkala mengikut ketersediaan tunai serta keutamaan akan diberikan kepada pemohon yang benar-benar memerlukan.
KPF ketika itu berkata mereka mempunyai masalah aliran tunai disebabkan penebusan syer melebihi jumlah langganan dan terpaksa menggunakan tunai yang diperuntukkan untuk operasi perniagaan semasa.
Perkara itu, menurutnya, menyebabkan pelaburan dan perniagaannya terkesan.
Pembayaran bermula semalam
Sementara itu, seperti penjelasan KPF sebelum ini, Shabery mengulangi bahawa pembayaran awal akan dibuat terlebih dahulu kepada pencarum “yang benar-benar terdesak dahulu”.
Bagaimanapun, katanya, anggota KPF tidak perlu bimbang kerana “asetnya besar, ada RM4 bilion”.
“Cumanya yang jadi isu sekarang berkaitan nak cari kecairan RM200 juta.
“Jadi, perkara ini kita akan susun balik kerana pegangan saham kecil-kecil distrukturkan supaya ada kecairan kira-kira RM208 juta cukup untuk selesaikan perkara tersebut.
“Tetapi ia mengambil sedikit masa. Namun saya memberi jaminan, insya-Allah ia akan dapat diselesaikan dalam masa antara enam hingga sembilan bulan,” tegasnya.
Shabery juga berkata KPF masih memiliki aset yang boleh dicairkan bagi menyelesaikan masalah aliran tunai, misalnya hartanah seluas kira-kira 15,000 hektar di Samarahan, Sarawak dengan anggaran nilai lebih RM1 billion.
Sementara itu, Faridah berkata KPF sudah mula membuat pembayaran jualan saham ahlinya bermula semalam.
“Kita telah mula bayar semalam sebanyak RM17 juta. Ini untuk tuntutan kritikal, penyakit kritikal, untuk yang mempunyai masalah kewangan dan juga khairat kematian,” katanya.
KPF ditubuhkan pada 1 Julai 1980 dengan tujuan menjadikan koperasi itu sebagai wadah simpanan dan pelaburan warga Felda, serta memberi peluang kepada mereka untuk turut memiliki ekuiti dalam syarikat-syarikat Felda.
Pada zaman kegemilangannya, KPF pernah memberikan dividen tahunan setinggi 18 peratus kepada anggotanya yang terdiri daripada peneroka dan kakitangan Felda, selain beberapa kali dinobatkan sebagai koperasi terbaik di Malaysia.
Namun prestasi KPF mula merosot semenjak penyenaraian FGV di bursa Malaysia pada 2012, yang menyaksikan koperasi itu terpaksa melepaskan 51 peratus kepentingannya dalam Felda Holding Berhad (FHB) kepada FGV.