Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lim minta KDN diberi peruntukan lepas MCA ketawakan Saifuddin, polis
Diterbitkan:  Jul 11, 2024 12:12 PM
Dikemaskini: 4:12 AM

Mendakwa kecewa melihat Saifuddin Nasution Ismail menjadi bahan gelak ketawa dan ejekan MCA, Lim Guan Eng berharap kerajaan segera menyediakan peruntukan untuk menambah bilangan anggota polis di seluruh negara.

Kata Pengerusi DAP Kebangsaan itu kerajaan boleh menambah hanya seramai empat orang anggota polis bagi kesemua 837 balai polis seluruh negara dengan jumlah keseluruhan 3,348 orang.

Dengan langkah itu, katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) boleh memastikan polis dapat terus berkhidmat kepada orang ramai dan pintu balai di kawasan luar bandar atau terpencil tidak perlu ditutup pada jam 10 malam.

Mendakwa ada pihak tertentu mengambil kesempatan mentertawakan polis dan memutar belit kenyataan Saifuddin, Lim berkata tindakan tersebut tidak bertanggungjawab.

"Apa yang paling dikesalkan ialah pemimpin MCA menggunakan peluang ini untuk mentertawakan, mencemuh dan menghina Saifuddin dan juga pasukan polis.

"(Mereka) sama sekali tidak mengendahkan peranan penting yang dimainkan oleh anggota polis kita yang sentiasa bertaruh nyawa untuk mencegah jenayah dan menjaga keselamatan rakyat Malaysia.

"Malangnya, gelakan, cemuhan dan penghinaan tersebut juga mendapat sokongan dengan beberapa orang yang lain sambil mempersoalkan mengapa hospital awam dan kedai serbaneka boleh memastikan pintu masuk mereka dibuka 24 jam sehari tetapi bukan pula balai polis, walhal polis sepatutnya memastikan kita selamat daripada penjenayah.

"Bagaimana polis boleh menjaga keselamatan kita semua jika mereka tidak dapat memastikan balai polis mereka selamat? Ini adalah contoh soalan yang kini kita dengar selepas serangan keji oleh MCA," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat Selasa lalu, Saifuddin berkata KDN mengarahkan pintu pagar balai polis di seluruh negara ditutup selepas 10 malam sebagai langkah keselamatan berikutan insiden serangan ganas di Ulu Tiram, Johor baru-baru ini.

Kekuatan PDRM ditingkatkan

Jelas Saifuddin, arahan itu dilaksanakan bagi mengimbangi keperluan masyarakat untuk ke balai polis dan menjaga keselamatan anggota yang bertugas.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain kemudiannya berkata penyampaian perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjalan seperti biasa walaupun arahan agar pintu pagar balai polis di seluruh negara ditutup selepas 10 malam.

Katanya, orang ramai masih boleh membuat aduan dan laporan seperti biasa.

Lim berkata bagi mengelak polis dan Saifuddin menjadi sasaran ejekan secara tidak adil, lebih ramai anggota polis perlu diambil untuk mengawal balai dan memastikan pintu pagar terus dibuka.

Saifuddin Nasution Ismail

Jelasnya lagi, perlu ada pembiayaan segera oleh kerajaan untuk pengambilan tambahan empat anggota polis, dengan tiga anggota secara bergilir-gilir mengawal balai polis manakala seorang lagi sebagai petugas simpanan.

"Tambahan seramai 3,348 anggota polis ini juga akan membantu jumlah semasa iaitu seramai 134,978 anggota dan pegawai polis di seluruh negara.

"Malah 134,978 anggota polis pada masa ini sebenarnya masih tidak mencukupi dengan laporan kekurangan seramai 4,940 anggota polis.

"Sekiranya kekurangan 4,940 anggota polis dapat diisi dan tambahan 3,348 anggota polis diambil untuk memastikan pintu balai polis terbuka, pasukan polis akan meningkat dengan kekuatan 143,266 anggota.

"Tambahan perbelanjaan bagi membolehkan lantikan lebih ramai anggota polis akan disokong sepenuhnya oleh rakyat yang sudah tentu mahukan rumah dan jalan mereka kekal selamat dan terjamin daripada sebarang jenayah," katanya yang juga ahli parlimen Bagan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS