Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan isteri bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, Na’imah Abdul Khalid memiliki pasport sementara untuk perjalanan ke luar negara.
Mahkamah jenayah membenarkan pasport berkenaan diserahkan kepada Na’imah bermula 14 hingga 25 Julai susulan tiada bantahan daripada pasukan pendakwaan.
Mahkamah sebelum ini menahan pasportnya sebagai sebahagian daripada syarat jaminan RM250,000 yang dikaitkan dengan kes kegagalan mendedahkan asetnya yang sedang berjalan.
Menurut salinan afidavitnya bagi menyokong permohonan itu, Na’imah menjelaskan bahawa dia perlu berjumpa dengan peguamnya di London, United Kingdom dan menghadiri Pameran Seni Antarabangsa La Biennale di Venezia, Venice, Itali.
Katanya, dia perlu berjumpa dengan peguam Dave Vasoodaven dari Gulbenkian Andonian Solicitors di London pada 15 Julai.
Dia kemudiannya perlu ke Venice untuk pameran seni dari 16 hingga 20 Julai, kerana dia perlu menghadiri majlis berkenaan selaku pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Ilham.
Katanya, yayasan bukan keuntungan itu ditubuhkan untuk menjalankan kerja-kerja filantropi dan amal, termasuk mempromosikan dan pertukaran seni, budaya, dan pendidikan.
“Saya telah dinasihatkan oleh peguamcara saya dan sesungguhnya percaya bahawa saya telah menghadirkan diri bagi kesemua tarikh yang telah ditetapkan oleh Mahkamah yang mulia ini dan tidak pernah menunjukkan sebarang tanda untuk melarikan diri atau tidak menghadirkan diri di mahkamah bagi kes saya.
“Berlandaskan fakta ini, saya dengan rendah diri menyatakan bahawa permohonan saya di sini telah difailkan dengan niat baik (good faith).
"Saya juga sesungguhnya percaya dan menyatakan bahawa saya akan kembali ke Malaysia pada atau sebelum 25 Julai, dan akan menyerahkan pasport saya kepada mahkamah dengan serta merta," kata Na'imah.
Sebelum ini, mahkamah juga membenarkan pelepasan sementara pasportnya untuk perjalanan ke Basel dan Singapura.
Pada Januari lalu, Na’imah, 66 mengaku tidak bersalah atas pertuduhan jenayah kerana didakwa gagal mematuhi notis SPRM untuk mendedahkan asetnya.
Dia didakwa mengikut Akta SPRM 2009 atas kesalahan memberikan akuan bertulis bersumpah yang tidak mematuhi notis SPRM.
Na’imah dituduh melakukan kesalahan itu antara 13 hingga 14 Dis tahun lalu, dan boleh dipenjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM100,000 jika sabit kesalahan.
Aset yang didakwa tidak didedahkannya melibatkan beberapa bidang tanah, bangunan dan kenderaan Mercedes-Benz.
Mengikut lampiran pada pertuduhan dan dibacakan di mahkamah, antara lapan hartanah yang didakwa itu, termasuk ialah Menara Ilham di Kuala Lumpur, sebuah rumah di Bukit Tunku, Kuala Lumpur, serta enam bidang tanah - lima di Kuala Lumpur dan satu di Pulau Pinang.
Dia juga didakwa tidak mendedahkan dua syarikat, iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd.
Daim, 86, juga menghadapi pertuduhan jenayah yang sama.