Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) memuji Menteri Sumber Manusia Steven Sim atas pendekatan proaktifnya dalam menangani isu dalam HRD Corp dengan melantik juruaudit bebas.
Langkah itu diambil susulan pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2/2024 yang membangkitkan isu salah urus dana yang serius dalam perbadanan berkaitan kerajaan itu.
Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin berkata walaupun isu yang dilaporkan oleh PAC dan Laporan Ketua Audit Negara berlaku sebelum Sim menjadi Menteri Sumber Manusia, kesanggupannya melantik firma audit bebas berdasarkan dapatan tersebut harus menjadi contoh kepada anggota kabinet yang lain.
PAC juga meminta agar dapatan juruaudit bebas itu dibentangkan kepada mereka apabila kementerian dan HRD Corp dipanggil semula pada Sept akan datang untuk tindakan susulan.
HRD Corp ketika ini menjadi perhatian ramai ekoran pendedahan mengenai salah urus ratusan juta ringgit dalam geran latihan, pelaburan dan pembelian hartanah.
Antara lain laporan audit mendedahkan tadbir urus yang lemah dalam pengurusan sebanyak RM3.727 bilion, mengakibatkan kerugian tidak direalisasi sebanyak RM49.38 juta daripada Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF).
Sebagai tindak balas kepada penemuan tersebut, Sim bukan sahaja melantik juruaudit bebas tetapi juga membuat laporan kepada SPRM dengan janji tidak akan melindungi sesiapa yang terlibat.