Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Projek ECRL di Kelantan capai hampir 80 peratus
Diterbitkan:  Jul 11, 2024 10:04 AM
Dikemaskini: 2:04 AM

PARLIMEN | Status kemajuan kerja projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kelantan telah mencapai 79.81 peratus sehingga Mei 2024, kata Kementerian Pengangkutan (MoT).

Katanya ia melibatkan struktur jambatan dengan sejumlah 428 daripada 468 rentang bagi tujuan pemasangan rasuk siap di jajaran utama, manakala kerja-kerja pembinaan bagi dua stesen di negeri itu juga telah dimulakan.

“Selain itu, kerja pemasangan landasan di Kelantan dijangka bermula pada suku keempat 2024,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Rabu.

MoT menjawab pertanyaan Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) mengenai status kemajuan projek ECRL, khususnya bagi Kelantan, selain pelan perancangan dalam memastikan impak positif projek memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat apabila mula beroperasi kelak.

Projek ECRL sepanjang 665km adalah projek infrastruktur rel yang menghubungkan negeri-negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan Selangor di Pantai Barat Semenanjung.

Kata MoT, setakat Mei lalu, status kemajuan keseluruhan projek ini telah mencapai 67.09 peratus.

Menurutnya PLANMalaysia melalui Kajian Pelan Induk Bersepadu Guna Tanah Laluan Rel Pantai Timur (PeGTaECRL) yang dilaksanakan pula bertujuan memastikan pembangunan guna tanah di sepanjang jajaran ECRL dan sekitar stesen, termasuk pembangunan pelaburan Projek Pemacu Ekonomi (EAP).

Pelan cadangan terperinci di dalam PeGTaECRL bagi Kelantan melibatkan dua stesen ECRL iaitu stesen Kota Bharu dan Pasir Puteh.

“Antara cadangan utama bagi Stesen ECRL di Kelantan adalah pembangunan Bandar Baru Tunjong yang merupakan perbandaran baharu untuk kawasan Ketereh manakala di Pasir Puteh merangkumi cadangan pembangunan hab logistik.

“Cadangan pelabuhan darat di Bandar Baru Tok Bali pula akan memperkukuh stesen Pasir Puteh sebagai hab kargo untuk Kelantan dan utara Terengganu," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS