Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Melaka mahu jadi gedung pantun negara
Diterbitkan:  Jul 11, 2024 9:17 AM
Dikemaskini: 1:17 AM

Melaka berhasrat menjadi negeri Gedung Pantun Negara dengan menghimpunkan koleksi pantun tradisonal sebagai usaha melestari dan memartabat seni warisan Melayu agar ia kekal terpelihara.

Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh berkata perancangan itu antara usaha dilakukan selepas inisiatif Gerbang Pantun Melaka dan Satu Kampung Satu Pantun, selain pemerkasaan pantun dalam kalangan pelajar sekolah, jabatan serta agensi kerajaan.

"Pantun merupakan khazanah yang bernilai dan penggunaan pantun mewarnai sosiobudaya masyarakat yang sering digunakan sebagai medium bicara dalam sesuatu urusan atau majlis terutamanya pernikahan, perkahwinan dan lain-lain.

"Justeru usaha melestarikan seni warisan ini akan diteruskan seperti Gerbang Pantun Melaka yang dijadikan platform menyimpan pantun terbaik untuk dipelihara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Malam Sirih Bertepuk Pinang Menari sempena Kolokium Pantun Peringkat Kebangsaan di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, Ayer Keroh malam tadi.

Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Abdul Razak Abdul Rahman, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Hazami Jahari dan Timbalan Ketua Pengarah Sektor Kebudayaan dan Kesenian JKKN Rosnan Nordin.

Ab Rauf berkata melalui Gerbang Pantun Melaka, kerajaan negeri mewujudkan pangkalan data dengan 1,914 pantun berjaya dihimpunkan meliputi kategori kampung, sekolah, jabatan serta agensi kerajaan.

"Selain itu, kerajaan negeri merancang untuk mengadakan Pertandingan Pantun Nusantara dalam usaha memperbanyakkan lagi penganjuran program berkaitan seni warisan ini," katanya.

Dalam pada itu dia berkata penganjuran program diskusi berbentuk kolokium itu merupakan platform kepada penyelidik dan penggiat seni berkongsi idea serta cadangan dalam memperkukuh lagi keunikan seni pantun agar terus berkembang seiring dengan kepesatan teknologi masa kini.

"Saya berharap hasil daripada kolokium ini akan mempamerkan satu dapatan yang boleh diangkat kepada agensi berkaitan untuk pelaksanaan dan pemerkasaan pantun di peringkat kebangsaan, antarabangsa dan nusantara," katanya.

Program selama dua hari bertema Membuanakan Pantun Khazanah Pusaka Bangsa itu melibatkan seramai 1,000 peserta dari pelbagai jabatan, agensi serta institusi awam.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS