Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sg Bakap: Kalau letak KJ, Kian Ming pun kalah, kata Rafizi

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli menmbidas pengkritik yang mempersalahkannya dan tindakan rasionalisasi subsidi diesel berhubung kegagalan Pakatan Harapan (PH) merampas kerusi DUN Sungai Bakap, pada 6 Julai lalu.

Sebaliknya, menurut Rafizi, keputusan pilihan raya kecil (PRK) itu menunjukkan Perikatan Nasional (PN) dan PH masing-masing mengekalkan kadar perolehan undi yang sama seperti pada pilihan raya negeri (PRN) Pulau Pinang tahun lalu ketika Putrajaya masih belum melaksanakan rasionalisasi subsidi diesel.

Rafizi Ramli

Satu-satunya perbezaan kali ini menurut Rafizi, ialah PN memperolehi jurang majoriti yang lebih besar kerana peratusan keluar mengundi jauh lebih rendah di kalangan pengundi bukan Melayu.

Tambahnya, berdasarkan data pengundian, ia menandakan negara berada dalam kebuntuan polarisasi tidak kira apa yang dilakukan oleh parti, ia tidak akan mengubah corak undian di kalangan pengundi sama ada Melayu atau bukan Melayu.

“Ia menunjukkan betapa segala-galanya terpolarisasi.

“Awak letak Ong Kian Ming jadi (calon) ke, KJ (Khairy Jamaluddin) ke, tetapi saya tidak fikir ia akan menghasilkan apa-apa.

"Yang membimbangkan saya adalah betapa teruknya polarisasi tersebut," katanya pada sidang media, hari ini.

Khairy Jamaluddin

Rafizi berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan PRK Sungai Bakap yang menyaksikan PN berjaya mengekalkan kerusi itu dengan majoriti lebih lebih besar dengan 4,267 undi.

Pengkritik kerajaan menyalahkan isu nasional seperti rasionalisasi subsidi diesel baru-baru ini sebagai antara faktor utama kekalahan PH-BN pada pilihan raya itu.

Antara lain, Ong yang juga bekas ahli parlimen DAP turut menyalahkan Rafizi kerana menggunakan kata-kata menghina ketika berkempen untuk calon PH, Joohari Ariffin.

Selain itu, Ong dan Khairy, yang merupakan bekas pemimpin Umno, turut membincangkan sikap Rafizi yang dikatakan "sangat keras" dalam episod terbaru podcast "Keluar Sekejap" ketika mereka menganalisis keputusan PRK berkenaan.

Ong Kian Ming

Sebagai tindak balas, Rafizi membidas kedua-dua mereka kerana berdiam diri apabila PH melakukan lebih baik daripada jangkaan semasa PRU ke-15 lalu.

"Ketika saya mengetuai kempen pilihan raya untuk PKR daripada kekalahan berturut-turut dalam PRN Melaka dan Johor, dan kemudian pada pilihan raya umum ke-15 apabila kita melakukan lebih baik daripada apa yang dijangkakan, tidak ada komen seperti itu daripada KJ atau Ong," katanya.

Sebagai reaksi kepada isu diesel, menteri ekonomi itu berkata tiada data konklusif untuk menunjukkan bahawa rasionalisasi subsidi bahan api telah memberi kesan kepada undi.

“Tapi kalau dilihat kepada tahap sokongan pengundi Melayu, kalau betul soal diesel semua ini ada kesan besar kepada undian, kamu akan menjangkakan PN akan meningkatkan undi mereka.

"Tetapi tidak. Ia kekal hampir sama, kira-kira 22 peratus (PH) berbanding 78 peratus (PN). Ia kekal seperti tahun lepas, iaitu sebelum diesel (rasionalisasi subsidi).

"Saya fikir kita perlu melihat segala-galanya secara menyeluruh," katanya.

Tambahnya lagi, kadar keluar mengundi di kalangan pengundi bukan Melayu adalah serendah 45 peratus di beberapa pusat daerah mengundi manakala orang Melayu pula setinggi 80 peratus.

Dia menarik perhatian mengikut rekod terdahulu, kadar keluar mengundi dalam kalangan pengundi bukan Melayu adalah lebih rendah semasa PRK atau PRN berbanding pilihan raya umum.

Bagaimanapun jelasnya, PKR akan cuba mencari apa yang menyebabkan ramai pengundi bukan Melayu di Sungai Bakap tidak keluar mengundi.

“Saya rasa masih terlalu awal untuk kita membuat kesimpulan kerana parameternya tidak begitu jelas.

"Pertama, memang tiada perubahan sokongan terhadap siapa-siapa. Kita hampir sama seperti setahun lalu.

"Kedua, isu sebenar di sini ialah peratusan keluar mengundi. Adakah kita mempunyai maklumat mencukupi bahawa orang bukan Melayu tidak keluar kerana (isu) diesel?

"Saya fikir kita perlu lihat ke belakang dan cari puncanya," kata Rafizi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS