Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ada apa dengan RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024
Diterbitkan:  Jul 10, 2024 2:29 PM
Dikemaskini: 6:29 AM

Pada 2 Julai lalu, Rang Undang Undang Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 telah dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

RUU itu dipinda bagi mengadakan peruntukan mengenai mufti, penentuan mengenai hukum dan doktrin syarak serta perkara berkaitan.

Mohd Na’im menjelaskan RUU tersebut akan memperincikan fungsi dan peranan mufti dalam menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan hukum-hakam agama serta tatacara mengeluarkan fatwa atau pendapat berhubung hukum syarak di mahkamah, selain penentuan arah kiblat.

Ia juga turut memperincikan badan Jawatankuasa seperti Jawatankuasa Fatwa Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Falak Syarie, Rukyah Hilal, dan Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam yang dipengerusikan oleh mufti.

Namun sebahagian daripada pindaan yang terdapat di dalam RUU itu mencetuskan polemik dalam kalangan agamawan dan ahli politik.

Mohd Na’im Mokhtar

Hal itu kerana ia menyentuh kelayakan menjadi mufti iaitu mewajibkan individu terbabit berakidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (Sunni) yang terfokus pada perkara 4 (a) iaitu merujuk kepada pegangan bersumberkan aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah dalam akidah, bermazhab Syafie (mengikuti mazhab Sunni lain dalam keadaan tertentu) dalam fiqah serta pegangan dibawa oleh Imam al-Ghazali dan Imam Junaid dalam tasauf.

Mereka yang membantah

Bantahan akan pengkhususan istilah Sunni yang hanya merujuk kepada Asyairah dan Maturidiyah dimulakan oleh Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin.

Katanya, pentadbiran Islam di Wilayah Persekutuan yang berada dalam bidang kuasa kerajaan persekutuan sepatutnya mewakili kerencaman dan kepelbagaian rakyat.

“Tidak wajar untuk kerajaan meluluskan apa-apa perundangan atau enakmen yang membelenggu pemikiran rakyat, merampas kebebasan berfikir dan akademik terutamanya atas nama agama.

“Bagaimana mungkin Wilayah Persekutuan ingin meluluskan satu peraturan yang menyempitkan akal dan minda padahal Wilayah Persekutuan pusat segala intelektual berdebat dan berhujah.

"Kejumudan membawa kepada ketaasuban dan kebencian antara rakyat dan pemerintah,” katanya dalam kenyataan media.

Rentetan daripada itu, mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Zulkifli Mohamad menerbitkan sebuah e-buku berjudul Ahl Al-Sunnah Wa Al-Jama’ah: Siapakah Mereka?

Zulkifli Mohamad

Dalam tulisannya, Zukifli menyimpulkan takrif Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai umat Islam yang berpegang teguh kepada al-Quran dan Sunnah, para sahabat dan ulama yang diakui keimanannnya.

Kata bekas menteri agama itu, ia termasuk aliran Asyairah, Maturidiyah dan kelompok Ahli Hadis (Hanabilah).

Presiden PAS Abdul Hadi Awang pula berpendapat RUU Mufti Wilayah Persekutuan itu perlu dikaji secara mendalam terlebih dahulu sebelum diluluskan.

Menurutnya, langkah itu penting berikutan terdapat berpuluh-puluh mazhab dalam Islam dan tidak ada mana-mana ulama muktabar membenarkan aliran mereka diisytihar sebagai agama negara.

Abdul Hadi Awang

"Pada pandangan saya, semua ulama tidak membenarkan mazhab mereka diisytiharkan sebagai agama negara, sama ada Imam Malik, Imam Syafie mahupun Imam Hambali.

"Hanya Islam yang menjadi agama negara, hanya Islam yang menjadi agama negara," katanya.

Mereka yang menyokong

Majoriti badan berautoriti agama pula memberikan dukungan terhadap takrifan yang dianggap sempit itu.

Mereka melihat keputusan Wilayah Persekutuan sesuai dengan pegangan majoriti umat Islam disamping mendapat perkenan Majlis Raja-Raja pada Feb 2024.

Sehingga kini sudah sembilan mufti negeri menyatakan sokongan iaitu Wilayah Persekutuan sendiri, Perak, Selangor, Sabah, Pahang, Kedah, Negeri Sembilan, Terengganu dan Melaka.

Mufti Pahang Asmadi Mohamed Naim menyatakan RUU tersebut wajib disokong untuk mendukung Majlis Raja-Raja sebagai institusi yang menaungi agama Islam, warisan amalan dan adat istiadat Melayu serta aliran Asyairah dan Maturidiyah bersifat sederhana dan tidak mengkafirkan.

“Terdapat pelbagai adat istiadat termasuk adat istiadat di istana yang menjadi warisan penduduk umat Islam di Malaysia.

“Warisan dan adat istiadat ini yang akhirnya membentuk identiti dan jati diri umat Islam di negara ini hanya dapat dipertahankan dengan sebuah fahaman aliran yang terbuka, tidak jumud, fleksibel dan harmoni iaitu aliran Asyairah dan Maturidiah,” katanya.

Mufti Sabah, Bungsu @ Aziz Jaafar menyatakan RUU berkenaan dilihat mampu memperkukuh asas Islam sedia ada malah boleh mengekang ekstremisme dan radikalisme agama.

“RUU Mufti menyatakan bahawa manhaj akidah Asyairah dan Maturidiyah sebagai paksi utama kerana ia bersifat sederhana, wasatiyyah dan lengkap dalam menjaga aspek terpenting insani.

“Hal ini dapat membasmi aspek takfiri seperti golongan Khawarij dan tidak pula longgar seperti golongan murjiah dan liberal-plural-Ssekular,” katanya.

Wan Ahmad Fayhsal

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, menyatakan dia akan mewakili Bersatu untuk mennyokong RUU berkenaan apabila dibahaskan di Dewan Rakyat untuk memperkukuhkan institusi Ahli Sunnah Wal Jamaah di Malaysia.

Bekas pegawai khas menteri agama, Ali Muda, turut menyatakan sokongan RUU atas alasan ia demi memastikan kestabilan institusi agama serta mengawal perselisihan agama

Ali meyakini mufti yang dilantik di Wilayah Persekutuan akan turut terbuka dengan pelbagai aliran lain.

Disebalik kelompok yang menyokong menganggap RUU ini penting demi mengangkat institusi Majlis Raja-Raja Melayu, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail menyatakan baginda tidak berkenan nama badan itu digunakan untuk menyokong RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024.

Baginda menzahirkan pandangan berkenaan melalui Mohd Asri hari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS