Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penyasaran subsidi diesel untuk pastikan syarikat minyak bersedia
Diterbitkan:  Jul 10, 2024 9:34 AM
Dikemaskini: 1:34 AM

PARLIMEN | Pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung Malaysia adalah langkah fasa pertama bagi memberi ruang kepada syarikat minyak membangun dan melengkapkan infrastruktur yang diperlukan, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

MoF berkata langkah itu juga dibuat bagi memastikan syarikat minyak bersedia sekiranya langkah tersebut diperluas ke Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

"Pada masa ini kerajaan tidak berhasrat untuk melaksanakan penyasaran subsidi diesel di Sabah dan Sarawak memandangkan sebahagian besar mod pengangkutan untuk menjalankan aktiviti ekonomi serta program dan projek pembangunan di kedua-dua negeri itu menggunakan diesel.

"Tambahan pula, keadaan geografi di situ mengehadkan kebolehlaksanaan mekanisme fleet card yang memerlukan kemudahan dan infrastruktur yang lebih canggih terutamanya di kawasan pedalaman," katanya.

MoF menjelaskan perkara itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen pada Selasa.

Ia bagi menjawab soalan Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) yang meminta kementerian menyatakan apakah rasional pelaksanaan subsidi diesel bersasar hanya di Semenanjung Malaysia.

Fleet card ialah sistem subsidi diesel yang ditambah baik untuk memastikan kenderaan yang layak mendapat subsidi dipantau dari segi penggunaan diesel dan mengelakkan berlakunya ketirisan.

Sementara itu, menjawab soalan Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) yang ingin mengetahui bagaimana kerajaan dapat menjimatkan kos sekiranya pengguna diesel yang layak menerima Budi Madani sebanyak RM200 sebulan, MoF berkata bantuan tunai sebanyak RM200 adalah mencukupi.

"Ketetapan jumlah bantuan tunai sebanyak RM200 sebulan adalah hasil kajian mendalam dan perundingan dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk pemilik kenderaan, pakar ekonomi serta industri.

"Berdasarkan data Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2022 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia berkaitan perbelanjaan bulanan bahan bakar diesel isi rumah, dianggarkan RM200 adalah jumlah mencukupi untuk menampung kos diesel bulanan tambahan bagi 80 peratus isi rumah di Semenanjung Malaysia," katanya.

Menurut MoF, kerajaan akan sentiasa memantau situasi semasa termasuk pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Sekiranya perlu, kata MoF penambahbaikan dari semasa ke semasa akan dibuat dalam memastikan golongan yang benar-benar layak terus mendapat perhatian kerajaan dalam mendepani cabaran kos sara hidup.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS