Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah batal keputusan k'jaan Kedah haramkan kedai judi

Beberapa kedai judi berjaya dalam tindakan undang-undang mereka untuk mengubah tindakan kerajaan Kedah yang mengharamkan mereka di negeri itu.

Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 20 Jun membenarkan permohonan semakan kehakiman daripada berbilang pengendali perjudian yang menyasarkan keputusan pentadbiran Kedah.

Bagaimanapun, kerajaan Kedah telah memfailkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan itu, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Pada 14 Nov 2022, Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan kerajaan Kedah tidak lagi meluluskan lesen judi, selain mengehadkan penjualan arak di semua premis terutama di kawasan luar bandar di negeri ini.

Dia berkata langkah itu bertujuan menangani gejala sosial yang berpunca daripada perjudian, seperti keruntuhan institusi keluarga.

Pada 1 Jan tahun lepas, keputusan itu berkuat kuasa menyebabkan semua premis perjudian dan loteri tidak lagi dibenarkan beroperasi di Kedah.

Menurut salah satu permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh SM Lottery Sdn Bhd, pemohon berhujah keputusan kerajaan negeri adalah tidak sah, tidak rasional dan melanggar perlembagaan.

Kedai judi itu mendakwa keputusan pentadbiran Kedah gagal mengambil kira komposisi pelbagai etnik rakyat negeri itu.

Pemohon berhujah keputusan kerajaan negeri itu dibuat tanpa rundingan terlebih dahulu dengan pihak berkepentingan di Kedah.

Kedai judi itu juga berpendapat Perkara 74 dan 75 Perlembagaan Persekutuan hanya memberi kuasa kepada kerajaan persekutuan untuk menggubal undang-undang dan peraturan mengenai perjudian.

Bukan sahaja kerajaan Kedah dan Sanusi, malah pelbagai majlis daerah seperti Alor Setar, Sungai Petani dan Baling dinamakan sebagai responden yang disasarkan oleh tindakan undang-undang itu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS