Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bank perlu siasat transaksi tanpa kebenaran, bukan mangsa - timb menteri

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata beban untuk menyiasat dan membuktikan urus niaga penipuan atau scam adalah kepada bank, bukannya mangsa penipuan.

Jelasnya, bank juga mesti bertanggungjawab ke atas kerugian yang disebabkan oleh kecuaian atau kelemahan mereka.

"Saya juga ingin tekankan di sini beban untuk melakukan penyiasatan terperinci untuk membuktikan kesalahan kepada transaksi perbankan tanpa kebenaran adalah terletak ke atas pihak bank dan bukan kepada mangsa scam.

"Mangsa scam memang tak perlu buktikan yang itu transaksi tak benar, tetapi adalah (tanggungjawab) bank untuk membuktikannya," kata Lim di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kes scam telah menjejaskan rakyat Malaysia di semua peringkat, termasuk seorang bekas timbalan menteri.

Menurut laporan Kini News Lab, pada 2023 sahaja, sehingga Ogos tahun itu, sekurang-kurangnya RM1.3 bilion telah hilang dalam kira-kira 30,000 kes penipuan dalam talian.

Sebagai tindak balas, industri perbankan dan telekomunikasi, serta agensi penguatkuasaan undang-undang telah melancarkan pelbagai inisiatif untuk memerangi scam.

Ini termasuk menerbitkan nombor akaun bank yang disyaki digunakan oleh penipu untuk menyedut wang, menubuhkan Pusat Tindak Balas Penipuan Nasional (NSRC) dan melancarkan program kesedaran di seluruh negara.

Di parlimen hari ini, Lim berkata semua bank utama telah melaksanakan tindakan berikut sejak Jun 2023:

Memastikan setiap transaksi perbankan mematuhi ciri keselamatan seperti mengesahkan transaksi pelanggan dan memberikan pemberitahuan transaksi kepada pelanggan.

Memperkukuh peraturan pengesanan penipuan untuk mengenal pasti transaksi yang mencurigakan.

Hadkan pelanggan kepada hanya satu peranti untuk pengesahan transaksi perbankan dalam talian bagi mengelakkan penyalahgunaan akaun oleh pihak ketiga.

Mempercepatkan peralihan ke arah pengesahan yang lebih kukuh untuk transaksi dalam talian yang berkaitan dengan pembukaan akaun, pemindahan dana dan pembayaran serta pertukaran maklumat peribadi dan penubuhan akaun.

Menyediakan talian hotline khusus untuk mangsa melaporkan kes penipuan dalam talian.

Memperkenalkan mekanisme 'kill switch' yang dikuatkuasakan oleh Bank Negara yang membolehkan pengguna membekukan akaun mereka sendiri sekiranya berlaku aktiviti yang mencurigakan, termasuk jika mereka mendapati akaun mereka boleh diakses atau digunakan tanpa kebenaran.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS