Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes Jana Wibawa: Permohonan Muhyiddin semak keputusan pada 20 Ogos

Permohonan Muhyiddin Yassin, untuk menyemak keputusan Mahkamah Rayuan yang mengembalikan empat tuduhan salah guna kuasa yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa akan diketahui pada 20 Ogos ini.

Keputusan itu ditetapkan oleh panel lima hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Azizah Nawawi hari ini.

Turut bersidang sama adalah Hakim Mohd Ruzima Ghazali, Ahmad Zaidi Ibrahim, Azman Abdullah dan Azhahari Kamal Ramli.

Azizah berkata, panel memerlukan masa untuk membuat keputusan kerana ia membabitkan isu yang serius.

Pada Mac tahun lalu, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, berhubung empat pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM232.5 juta yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa.

Dia didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, atas pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri ketika itu dan presiden Bersatu untuk dorongan RM232.5 juta daripada tiga syarikat dan seorang individu, antara 1 Mac 2020 dan Ogos 20, 2021.

Tiga syarikatberkenaan ialah Bukhary Equity, Nepturis Sdn Bhd, dan Mamfor Sdn Bhd, manakala individu terbabit pula adalah Azman Yusoff.

Tiga pertuduhan pengubahan wang haram itu dibentangkan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 - dibaca bersama Seksyen 87(1) akta sama.

Muhyiddin, 77, didakwa menyalahgunakan kuasa untuk Bersatu menerima RM125 juta hasil daripada aktiviti haram daripada Bukhary Equity antara 25 Feb 2021 dan 8 Julai 2022.

Tuduhan itu tidak mendakwa bahawa pembayaran dibuat kepada Muhyiddin tetapi wang berkenaan didakwa digubah dengan dimasukkan ke dalam akaun Bersatu.

Pada Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan empat pertuduhan salah guna kuasa, yang membawa kepada pembebasan terhadapnya.

Bagaimanapun, pada Februari tahun ini, Mahkamah Rayuan mengembalikan semula pertuduhan, dan membatalkan pembebasan tersebut.

Muhyiddin hari ini memohon Mahkamah Rayuan menyemak keputusan sebelum ini, dengan alasan bahawa pertuduhan jenayah itu adalah kabur dan cacat dari segi undang-undang.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu juga berhujah bahawa kes terhadapnya adalah satu bentuk penganiayaan politik.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan 20 Ogos untuk mendengar permohonan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menyemak keputusan panel sebelum ini yang mengembalikan semula empat tuduhan salah guna kuasa membabitkan RM232.5 juta terhadapnya.

Panel lima hakim yang diketuai Hakim Datuk Azizah Nawawi menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujahan peguam utama Muhyiddin, Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin serta Datuk Mohd Dusuki Mokhtar yang bertindak bagi pihak pendakwa raya sebagai responden.

"Kami memerlukan lebih banyak masa kerana kes ini melibatkan isu yang serius. Oleh itu, kami menangguhkan keputusan kepada 20 Ogos," kata Hakim Azizah.

Hakim lain ialah Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah, dan Datuk Azhahari Kamal Ramli.

Pada 27 Mac lepas, Muhyiddin, 77, memfailkan permohonan supaya mahkamah mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang mengembalikan empat tuduhan terhadapnya yang telah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi.

Dalam notis usulnya, Muhyiddin berkata keputusan Mahkamah Rayuan adalah terbatal kerana ia dibuat tanpa bidang kuasa seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 50(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Beliau sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu ketika itu, didakwa menggunakan jawatannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff untuk parti tersebut.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Presiden Bersatu itu juga menghadapi dua tuduhan menerima wang daripada hasil aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Bersatu.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral antara 25 Feb dan 16 Julai 2021 serta antara 8 Feb dan 8 Julai 2022.

Terdahulu, Hisyam berhujah bahawa kes ini adalah kes yang wajar dan sesuai untuk semakan kerana tiada undang-undang atau cara lain yang boleh digunakan oleh pemohon (Muhyiddin) melainkan memohon bantuan mahkamah untuk membetulkan ketidakadilan yang timbul daripada keputusan yang dipertikaikan.

"Secara ringkasnya, kegagalan keadilan yang timbul daripada keputusan yang dipertikaikan adalah begitu berat dan jelas sehingga memerlukan campur tangan semakan oleh mahkamah ini," katanya.

Hisyam juga berhujah bahawa Mahkamah Rayuan mempunyai bidang kuasa untuk menyemak semula rayuan yang telah diputuskan untuk mengelakkan ketidakadilan yang nyata dalam keadaan luar biasa.

"Mahkamah Rayuan mempunyai kuasa untuk membetulkan keputusan yang salah untuk memastikan keadilan antara pihak-pihak yang terlibat dan memastikan keyakinan awam terhadap pentadbiran keadilan," tambahnya.

Sementara itu, Wan Shaharuddin berhujah bahawa panel Mahkamah Rayuan sebelum ini mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan melupuskan rayuan termasuk rayuan responden (pendakwa raya) di bawah Kaedah 105 Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994 berhubung pembebasan pemohon.

"Permohonan semakan ini merupakan suatu penyalahgunaan proses mahkamah. Oleh itu, saya mohon mahkamah menolak permohonan semakan pemohon dan mengembalikan kes ini ke Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS