Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RUU pemulihan dadah dihantar ke PSSC untuk diperhalusi

Kerajaan telah memutuskan untuk merujuk rang undang-undang mengenai pemulihan dadah kepada dua Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) untuk diperhalusi selanjutnya.

Ini selepas penolakan daripada persatuan perubatan, masyarakat sivil, dan beberapa ahli parlimen atas pelbagai kebimbangan seperti penglibatan doktor, dan pendekatan kerajaan terhadap nyah jenayah.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan langkah itu selepas menggulung perbahasan dasar Rang Undang-undang Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024.

Dia berkata rang undang-undang itu akan dirujuk kepada PSSC mengenai kesihatan dan keselamatan.

“Di situ kita akan jemput semua pihak yang berkepentingan, ahli parlimen, pakar perundangan, NGO, semualah, dan kami akan selesaikan, perhalusi, dan kemudian kami buat keputusan,” katanya.

Ini adalah rang undang-undang kedua yang dibentangkan oleh Saifuddin tahun ini yang telah ditangguhkan.

Rang undang-undang lain ialah pindaan perlembagaan mengenai kewarganegaraan, yang sepatutnya dibahaskan dalam sidang parlimen semasa.

Dalam penggulungannya, Saifuddin menegaskan pegawai perubatan akan terlibat dalam pemulihan penagih dadah.

"Sebab apabila pegawai pemulihan memberikan penentusahan, dua minggu itu adalah tempoh di mana mereka diawasi dan diteliti.

"Ada pelbagai ujian yang dilakukan oleh pakar kita di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan pegawai pemulihan yang dilatih,” katanya.

Dia menegaskan bahawa pegawai pemulihan menjalani latihan dengan organisasi akreditasi antarabangsa.

Tambahnya, penagih dadah yang mempunyai masalah kesihatan akan dirujuk kepada profesional perubatan.

“Yang namanya pegawai pemulihan, mereka punya kelayakan dan kepakaran dalam bidang psychology, psychology counselling, counselling, psychology clinical.

"Mereka juga punya kelayakan akademik dalam bidang sarjana penyalahgunaan bahan, sarjana kaunseling penyalahgunaan bahan dan sarjana psychology clinical,” jelasnya.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr Azizan Abdul Aziz berkata pegawai pemulihan dadah bukanlah doktor.

Dia merujuk kepada Seksyen 6(2) rang undang-undang itu, yang memberi kuasa kepada majistret untuk memerintahkan penagih dadah menjalani pemulihan sehingga dua tahun.

Ini selepas majistret menerima cadangan daripada pegawai pemulihan, dan selepas memberi peluang kepada penagih dadah untuk membuat representasi.

Undang-undang yang dicadangkan itu mentakrifkan pegawai pemulihan sebagai mana-mana pegawai yang dilantik di bawah Seksyen 5 Akta Agensi Antidadah Kebangsaan 2004, bermakna setiap pegawai AADK selain ketua pengarahnya.

Azizan menegaskan majistret mesti mendapatkan cadangan daripada doktor yang mempunyai latihan khusus, bukan pegawai pemulihan, sebelum memutuskan tempoh rawatan dan pemulihan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS