Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KOMENTAR | Pengajaran Sg Bakap: PH alpa siapa pengundi teras

KOMENTAR | Tulisan ini sambungan kepada tulisan saya semalam "Kekalahan PN-BN di Sungai Bakap sudah diduga?"

Pada tulisan ini saya ingin memfokuskan kepada dua isu sahaja. Isu pertama berkaitan dengan sokongan pengundi bukan Melayu khususnya pengundi Cina kepada PH yang jelas begitu merosot.

Tetapi untuk berlaku adil kepada PH, kemerosotan itu berpunca kepada jumlah peratusan pengundi Cina yang keluar mengundi di PRK DUN Sungai Bakap yang agak rendah - dikatakan dalam sekitar 47 peratus sahaja.

Sejak dari awal telah diramalkan bahawa peluang untuk calon PH-BN memenangi PRK tersebut mungkin terjejas jika peratusan keluar para pengundi Cina menurun. Realiti itu memang berlaku dan PH terpaksa membayar harga yang mahal.

Persoalan yang timbul mengapakah para pengundi Cina enggan keluar mengundi di PRK tersebut?.

Hakikatnya, media juga melaporkan kehadiran para pengundi Cina dalam program anjuran PH sewaktu musim berkempen juga dikatakan agak rendah.

Banyak teori yang dikemukakan tentang perkara tersebut. Antaranya kerana wujudnya protes ke atas kerajaan Madani khususnya persepsi para pengundi Cina akan kegagalan kerajaan Madani menyelesaikan masalah ekonomi.

Telah menjadi satu rahsia umum pengundi Cina amat sensitif dengan isu ekonomi. Ini tidak pelik kerana keterlibatan majoriti orang Cina dalam perniagaan bukanlah suatu rahsia.

Oleh itu jika para pengundi Cina merasakan bahawa mana-mana kerajaan gagal memastikan isu ekonomi diuruskan dengan baik sehingga misalnya harga barangan atau perkhidmatan mencacak naik maka faktor tersebut akan memberi kesan besar kepada sikap para pengundi Cina.

Berbeza dengan Umno undi teras parti tersebut lebih kepada undi orang Melayu khususnya pengundi Melayu luar bandar.

Dalam konteks politik Malaysia, suka atau tidak suka, undi teras PH lebih kepada undi orang bukan Melayu dan para pengundi Melayu bandar dan pengundi di kalangan "kelas menengah” ke atas atau mereka yang lebih terdedah kepada maklumat terkini.

Memahami dan mengenali undi teras ini amat penting khususnya dalam merangka strategi berkempen. Ramai juga pihak yang mendakwa PH khususnya seolah-olah alpa fakta tersebut.

Strategi simpang siur, bercelaru

Kealpaan itu lalu membawa kepada pengurusan kempen strategi PH yang bercelaru dan bersimpang siur.

Apabila diberitakan bahawa para pengundi Cina di luar Sungai Bakap bertepuk tangan kerana kekalahan calon PKR-PH ia seperti isyarat buruk kepada PH.

Bedah siasat yang telus dan jujur perlu dilakukan oleh PH bagi memastikan jika mereka tidak mahu menjadi Kerajaan hanya sepenggal sahaja.

Ramai juga mendakwa PH kelihatannya seperti “gelojoh” inginkan peningkatan dalam undi Melayu dan cuba berlumba dengan PAS-PN bagi memenangi undi Melayu tetapi dilihat cuai bagi memastikan undi teras tidak terjejas.

Anda tidak perlu untuk berpengalaman dalam politik untuk menilai markah foto ahli politik bersama pemimpin Palestin atau bersama ulama dari Universiti Al-Azhar khususnya untuk pengundi Melayu.

Malangnya isu naratif penglibatan Blackrock dengan MAHB gagal digarap dengan baik dan berkesan oleh PH-BN.

Seperti yang dikatakan semalam ada seorang pemimpin Umno yang menganggap antara punca kekalahan calon PH-BN tersebut disebabkan faktor Najib.

Pemimpin itu berhujah bahawa berdasarkan perkiraan ahli Umno dan simpatisan Najib, selagi dia dinafikan hak dan perbicaraan adil, sokongan para pengundi Melayu tidak akan pulih.

Sejujurnya saya simpati dengan pemimpin Umno tersebut. Sebagai peguam yang ada sedikit pengalaman dalam kes mahkamah, saya tidak nampak dari sudut manakah Najib dikatakan tidak mendapat keadilan?

Dengan hormat, cukuplah berilusi kononnya Najib tidak dapat keadilan.

Ya, mungkin boleh dihujahkan proses keadilan perbicaraan kes Najib mungkin tidak ideal namun untuk mengatakan Najib kononnya tidak mendapat keadilan, bagi saya tuduhan itu amat jauh dari kebenaran.

Ia ibarat orang yang tidak mampu melihat cuba memberikan deskripsi tentang seekor gajah.

Atas teori keadilan apakah seseorang itu ingin bersandar bagi menyatakan manusia seperti Najib - yang terlibat dalam jenayah mega skandal 1MDB - wajar untuk ditahan di rumah?

Saya ingin bertanya, pernahkah walau sekali kita melihat Najib berpakaian oren SPRM?

Bukan era 60an

Baiklah katakan Najib diberikan tahanan rumah, adakah Umno fikir selepas itu kerajaan perpaduan masih boleh bertahan hatta hingga ke akhir penggal?

Untuk semua ahli politik, ingatlah ini bukan politik era 1960an dengan sikap ahli politik yang cenderung menganggap para pengundi tidak cerdik. Maaf zaman itu sudah lama berlalu.

Akhirnya saya diberitahu ada pihak yang mendakwa saya menulis begini kerana saya kecewa tidak dicalonkan oleh parti saya dalam PRU yang lepas.

Tidak ada masalah. Saya tidak akan marah malahan berterima kasih kerana komen sebegitu membantu untuk saya terhibur yang amat sangat. Terima kasih ya.


HANIPA MAIDIN ialah mantan ahli parlimen yang berkelulusan LL.B dan LL.B (Shariah) dan pernah menjadi timbalan menteri undang-undang serta peguam litigasi selama hampir 25 tahun.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS