mk-logo
Berita
Kelantan akan percepat teroka REE, jana untung untuk negeri - Timb MB
Diterbitkan:  Jul 8, 2024 9:48 PM
Dikemaskini: 1:48 PM

Kerajaan Kelantan akan mempercepatkan proses penerokaan Unsur Nadir Bumi-Bukan Radioaktif (NR-REE) bagi membolehkan bahan mentah itu diproses di negeri ini sekali gus menjana pendapatan daripadanya.

Timbalan Menteri Besar Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata ini berikutan kerajaan negeri mendapat permintaan daripada beberapa syarikat dari China yang berminat menjalankan pemprosesan NR-REE.

“Kerajaan negeri mahukan agar NR-REE ini diproses di Kelantan bagi mendapat keuntungan lebih besar berbanding proses di China dan kami akan berbincang perkara ini dengan syarikat dari negara itu.

“Seperti sedia maklum Kelantan telah mendapat kebenaran daripada kerajaan Persekutuan untuk penerokaan NR-REE, namun kita perlu ada garis panduan dan prosedur operasi standard bagi aktiviti itu,” katanya pada Majlis Simposium Mineral Strategik-Unsur Nadir Bumi 2024 di Kota Bharu hari ini.

Beliau berkata proses mendapatkan kelulusan hasil Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) juga memakan masa dua hingga tiga tahun dan dalam tempoh itu kerajaan negeri akan cuba melakukan perbincangan dengan mana-mana pihak yang berminat.

Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli berkata Kelantan merupakan negeri kedua terbanyak mempunyai NR-REE yang dianggarkan bernilai RM125 bilion daripada lebih RM700 bilion yang ada di negara ini sekali gus berpotensi mengembangkan industri berasaskan mineral tersebut.

“Walaupun kerajaan Persekutuan masih belum membenarkan pengeksportan NR-REE kecuali projek rintis di Mukim Kenering, kita berharap isu ini akan dapat diselesaikan.

“Kita akan cuba mencari jalan yang terbaik kerana kita (Kelantan) tidak boleh mendahului kerajaan Persekutuan,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS