Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes buli siber: Polis tahan wanita tempatan
Diterbitkan:  Jul 8, 2024 6:38 PM
Dikemaskini: 10:38 AM

Pihak polis telah menahan seorang wanita tempatan berhubung kes seorang pempengaruh TikTok yang didakwa mati bunuh diri selepas dibuli siber.

Dalam kenyataan media hari ini, Ketua Polis Daerah Sentul Ahmad Sukarno Mohd Zahari mengesahkan penahanan tersebut.

“Pada 8 Julai lebih kurang 1.45 pagi pihak polis telah menahan salah seorang suspek yang merupakan perempuan warga tempatan berumur 35 tahun dipercayai terlibat dalam kes ini.

“Suspek kini ditahan reman di IPD Sentul selama tiga hari bermula hari ini untuk membantu siasatan polis,” katanya.

Menurutnya kes ini telah disiasat dibawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah), Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (menyebarkan kenyataan jelik) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil (kelakuan aib).

Sebelum ini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengesahkan kes seorang pempengaruh TikTok yang didakwa mati bunuh diri selepas dibuli siber telah dirujuk kepada polis untuk siasatan.

Jelas Fahmi, walaupun mangsa sebelum ini membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), aduan itu tidak berkaitan dengan insiden buli siber yang dipercayai menyebabkan kematiannya.

Mengulas lanjut, Sukarno berkata bahawa tangkapan itu dibuat susulan laporan polis pada 6 Julai.

Katanya, pihak polis telah menerima aduan daripada seorang lelaki warga tempatan berumur 39 tahun berkenaan ugutan melalui aplikasi Tiktok terhadap pempengaruh media sosial yang dikenali dengan nama Rajeswary (Esha).

“Semasa pengadu berada di Lorong Kolam Air 8 Jalan Ipoh, Kuala Lumpur telah terlihat dua posting melalui aplikasi Tiktok bernama Dulal Brothers dan Tiktok Alphaquinnsha mengenai fitnah dan ugutan terhadap Rajeswary (Esha).

“Kedua-dua akaun TikTok tersebut telah menggunakan gambar Rajeswary (Esha) sebagai latar belakang kandungan video yang telah dimuat naik ke akaun masing-masing,” katanya.

Tambahnya, kandungan tersebut juga didapati mengandungi ugutan dan ancaman kepada Rajeswary (Esha) serta turut menggunakan kata-kata kesat dan lucah.

“Hasil semakan polis mendapati tohmahan dan fitnah yang dilaporkan wujud berdasarkan tangkap layar yang dikemukakan oleh pengadu kepada pihak polis namun disyaki telah dipadam oleh kedua-dua pemilik akaun Tiktok tersebut.

“Polis Kuala Lumpur menasihati orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang artikel ataupun kandungan yang boleh menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan masyarakat.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan insiden ini boleh menghubungi pegawai penyiasat Insp. Kumaran Krishnan di talian 010-9093726 atau Bilik Gerakan IPD Sentul 03-40482222,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS