GLOBAL | Bulan Jun 2024 menandakan suhu global selama 12 bulan berturut-turut telah mencecah 1.5 darjah Celsius melebihi paras sebelum zaman perindustrian (1850-1900), menurut Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus Kesatuan Eropah pada Isnin.
Purata suhu global menurut Copernicus sejak 12 bulan lalu (Julai 2023-Jun 2024) adalah yang tertinggi dalam rekod, iaitu 0.76 darjah Celsius melebihi purata 1991-2020.
Ia juga 1.64 darjah Celsius lebih panas secara purata sejak zaman sebelum industri 1850-1900, kata laporan Copernicus.
Laporan itu juga mengatakan Jun 2024 lebih panas di seluruh dunia berbanding Jun 2023 dalam rekod data, dengan purata suhu udara permukaan sebanyak 16.66 darjah Celsius.
Ini juga menandakan bulan ke-13 berturut-turut sebagai yang paling panas dalam rekod data, kata laporan itu.
Pengarah Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus Carlo Buontempo berkata keadaan "ini lebih daripada keanehan statistik."
"Ia menyerlahkan perubahan besar dan berterusan dalam iklim kita," katanya
"Walaupun rentetan (suhu) ekstrem tertentu ini berakhir pada satu ketika, kami pasti akan melihat rekod baru dipecahkan apabila iklim terus panas," kata Buontempo.
"Melainkan jika kita berhenti menambah gas rumah hijau ke dalam atmosfera dan lautan."
Copernicus menggunakan berbilion-bilion ukuran data dari satelit, kapal, pesawat dan stesen cuaca di seluruh dunia dan kemudian menganalisisnya semula dengan simulasi komputer.
Bagaimanapun, penemuan Copernicus itu tidak bermakna pemimpin dunia telah gagal memenuhi janji mereka untuk mengehadkan pemanasan planet menjelang akhir abad ini pada kenaikan 1.5C darjah Celcius (dari era zaman sebelum industri 1850).
Sasaran yang diukur melalui Perjanjian Paris 2015 adalah dalam purata tempoh beberapa dekad dan bukannya setahun.
Saintis berkata peningkatan suhu yang berterusan di atas paras ini juga meningkatkan risiko bencana kemusnahan alam yang tidak menentu.
Badan iklim PBB, Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC) berkata kejadian cuaca ekstrem seperti banjir, ribut, kemarau dan gelombang haba menjadi lebih kerap dan teruk akibat kegiatan manusia seperti membakar bahan api fosil dan pemusnahan hutan.
Dalam perkembangan berkaitan, negeri Assam di India dilanda banjir teruk pada Isnin dengan puluhan ribu orang terpaksa tinggal di pusat pemindahan sementara.
Mumbai pula mencatatkan lebih 300 mm hujan di beberapa tempat dalam tempoh enam jam sehingga 7 pagi Isnin, kata pihak berkuasa tempatan.
Pada 6 Julai, Perkhidmatan Cuaca AS (NWS) berkata gelombang haba yang berpotensi menjadi 'bersejarah' mengancam lebih 130 juta orang di seluruh AS.
Suhu boleh mencecah kepanasan 38 darjah Celcius di banyak wilayah dan berupaya mencetuskan berpuluh-puluh kebakaran hutan.
NWS pada Sabtu melaporkan suhu akan lebih panas dari purata, dijangka berlarutan hingga minggu depan.
Jumaat lalu, rekod haba baru dicatatkan di Death Valley California, salah satu tempat paling panas di bumi, dengan 53 darjah Celcius.
Menurut AFP, sekurang-kurangnya 1,081 orang meninggal dunia semasa menunaikan ibadah haji tahun ini di Mekah, ketika suhu di rantau itu meningkat sehingga 51.8 darjah Celsius.