Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PRK Sg Bakap: DAP gagal dekati pengundi Cina, kata veteran Umno
Diterbitkan:  Jul 7, 2024 8:46 PM
Dikemaskini: 12:46 PM

Veteran Umno menuding jari terhadap DAP atas kekalahan PH dalam PRK Sungai Bakap semalam.

Setiausahanya Mustapha Yaakub berkata Umno telah melakukan yang terbaik untuk membantu PH namun mendakwa tidak bagi DAP.

"Kami mendapat maklumat pengundi Cina gagal didekati oleh pemimpin DAP. Ada yang tidak tahu pun ada PRK di Sungai Bakap.

"Ada yang beritahu mereka tidak mahu keluar mengundi tanpa sebab. Ia terbukti apabila hanya 47 peratus pengundi Cina yang keluar mengundi.

"Kami tidak mahu jadi seperti pahat yang berbunyi setelah rumah siap, tapi yang pasti ada sesuatu yang tak betul," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, PN mengekalkan kerusi Sungai Bakap dengan majoriti 4,267 undi - meningkat sebanyak 2,704 undi berbanding pilihan raya negeri lalu.

Walaupun Jumlah keseluruhan undi kurang sebanyak 4,500 berbanding PRN tahun lalu, jumlah undi yang diterima PN hanya merosot sebanyak 944 undi.

Jumlah undi yang diterima PH pula berkurang sebanyak 3,648 undi.

Semalam, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata analisis awal menunjukkan kadar undi Melayu sebanyak 70 peratus, manakala hanya 47 peratus pengundi Cina dan 58 peratus pengundi India yang keluar mengundi.

Bersorak atas kekalahan?

Mustapha juga menyuarakan kehairanannya apabila hadirin majlis makan malam bersama Ahli Parlimen Kepong daripada DAP, Lim Lip Eng bertepuk tangan apabila PN diumumkan menang.

"Mesti ada yang tak kena. Perlu diingat, DAP adalah rakan lama PKR dalam PH," katanya lagi.

Terdahulu, PN menyifatkan kemenangannya sebagai tanda rakyat, termasuk orang bukan Melayu, menolak kerajaan persekutuan pimpinan PH.

Antara isu yang dibangkitkan gabungan itu adalah keputusan memperkenalkan subsidi bersasar bagi diesel serta dakwaan impaknya kepada kos sara hidup.

Mustapha turut menyuarakan kebimbangan keputusan semalam akan memberi kesan besar kepada peluang Umno dalam PRK Nenggiri nanti.

"Jentera Umno mesti berkerja kuat untuk menawan Nenggiri walaupun majoriti yang diperolehi PN dalam PRU yang lalu hanya 810 undi," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS