Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Tuduhan pihak tertentu mempersoalkan pengumuman berkait pelaburan berbilion ringgit ke negara ini hanyalah sekadar sembang jalanan, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Hal itu kerana, katanya, ada antara pelaburan diumumkan itu sudah mula dilaksanakan oleh pelabur dari luar negara seperti Google yang bernilai RM9.4 bilion.

“Saya terkesan kerana sekarang ini orang kata pelaburan sudah masuk tetapi tak ada perubahan bilion-bilion... tidak ada apa-apa, sembang jalanan.

"... yang sebenarnya Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) lebih tahu dan syarikat yang masuk seperti Nvidia, Infineon, Google, Microsoft.

“Dia (Google) sudah beli tanah dah, dia umum beli tanah di Selangor dan sudah mula projek dan kita percepat kelulusan kerana pelaburan Google itu RM9.4 bilion, bukan (setakat) umum tetapi sudah beli tanah, sudah pecah tanah dan buat projek,” katanya ketika berucap pada Program Madani Rakyat Zon Timur 2024 di Kuantan, Pahang, hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali.

Anwar menegaskan pelbagai pelaburan dari luar diterima masuk ke negara ini termasuk di Selangor, Melaka, Terengganu, Kelantan dan Pahang yang akan memberikan kesan positif kepada ekonomi negara.

Katanya, berdasarkan rekod, pelabur yang sudah datang ke negara ini pada suku pertama tahun ini adalah tinggi manakala pada tahun lalu pelaburan domestik pula adalah tertinggi dalam sejarah

Dia juga berharap semua pihak bertindak dengan lebih efisien dalam memastikan pelaburan terus masuk ke dalam negara dan dapat dilaksanakan secepat mungkin.

“Majlis perbandaran, kerajaan negeri, kerajaan persekutuan kena efisien dan cepat tetapi kalau persekutuan negeri, perbandaran di mana-mana lembab, lembablah kemajuan,” katanya.

Anwar turut memuji usaha Ahmad Zahid memperkenalkan program seumpama itu sebagai platform untuk memberikan maklumat secara terus kepada rakyat mengenai usaha yang sudah dan sedang dilaksanakan Kerajaan Madani.

“Ia memberi ruang kepada rakyat tengok sendiri apa yang dilaksanakan, masing-masing jabatan dan kementerian kalau tidak, orang cakap tetapi tidak ada laksanakan apa apa.

"Saya dengar ramai cakap Madani ini tak ada-apa, jadi biar tengok sendiri,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS