Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
LANGSUNG | Ini protes rakyat kepada kerajaan, kata Abidin

PRK SG BAKAP | Dalam pertembungan satu lawan satu hari ini, calon PH Joohari Ariffin berdepan calon PN, Abidin Ismail dalam usaha untuk dinobat sebagai wakil rakyat DUN Sungai Bakap.

Malaysiakini membawakan secara langsung perkembangan keputusan PRK ini dari semasa ke semasa.


10.15pm: Analisis sekilas menunjukkan peratusan undi yang dimenangi PN meningkat daripada 52.7 peratus tahun lalu kepada 58.6 peratus.

Sebaliknya, bahagian undi PH jatuh daripada 47.3 peratus kepada 41.4 peratus.

PN juga meningkatkan majoriti mereka sebanyak 2,704 undi kepada 4,267.

Data juga menunjukkan bahawa PN hanya sedikit terjejas daripada peratusan keluar mengundi yang lebih rendah iaitu 62.9 peratus.

Walaupun kira-kira 4,500 pengundi berkurangan hari ini berbanding pilihan raya negeri, jumlah undi PN hanya berkurangan sebanyak 944.

Peratusan keluar mengundi yang lebih rendah menjejaskan PH kerana mereka kurang 3,648 undi hari ini.


10pm: Adun Sungai Bakap yang baru, Abidin Ismail, menyifatkan kemenangannya mempertahankan kerusi itu disebabkan protes rakyat terhadap kerajaan.

“Ya, ini protes kepada kerajaan yang menekan rakyat.

“Alhamdulillah kita berjaya menang dengan majoriti lebih besar berbanding pilihan raya negeri lalu,” katanya kepada media.


9.30pm: Jawi, Nibong Tebal - PN diisytiharkan berjaya mempertahankan DUN Sungai Bakap melalui Abidin Ismail yang memperoleh majoriti lebih besar iaitu 4,267 undi.

Abidin yang juga Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal berjaya meraih 14,489 undi, manakala pencabarnya Joohari Ariffin memperolehi 10,222 undi.

Keputusan rasmi itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Khairulnizam Hashim di Dewan Serbaguna Jawi, malam ini.

Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ramlan Harun dan timbalannya Azmi Sharom.


8.00 malam: Sungai Jawi, Nibong Tebal - Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata kekalahan PH pada hari ini dan kemerosotan undi Cina merupakan kesan daripada isu nasional.

"Tiada kena mengena dengan (masalah) calon. Ini isu negara, subsidi, inflasi yang dilihat, kos sara hidup, beban yang terpaksa dihadapi rakyat.

"Mungkin kita (PH) kehilangan naratif. Walaupun semua usaha dilakukan tetapi naratif ini tidak menghasilkan keputusan (yang kita mahu)," katanya kepada pemberita di Bukit Jawi Golf Resort di sini hari ini.

Ditanya sama ada kredibiliti Joohari adalah salah satu faktor penyumbang kepada kekalahan hari ini, Chow berkata, keputusan itu menunjukkan ia lebih daripada itu, bahkan mereka telah bekerja keras sepanjang tempoh kempen.


7.40 pm - Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa keputusan malam ini mencerminkan peratusan keluar mengundi yang rendah dalam kalangan bukan Melayu.

Dalam catatan di X, Rafizi berkata analisis awal menunjukkan peratusan pengundi Melayu adalah 70 peratus, manakala hanya 47 peratus pengundi Cina dan 58 peratus pengundi India keluar mengundi.

“Dengan jumlah keluar mengundi yang sangat berbeza di antara pengundi Melayu dan bukan Melayu, kerusi Sg Bakap menjadi kerusi majoriti besar Melayu (saluran-saluran bertukar dari Melayu-Bukan Melayu 55:45 kepada 75:25).

“Walaupun ada sedikit peralihan undi Melayu, keputusannya banyak dipengaruhi jumlah pengundi yang keluar," katanya.


7.35pm: Malaysiakini mengisytiharkan kemenangan PN dalam PRK Sungai Bakap berdasarkan pengiraan tak rasmi.

Dengan 62 daripada 66 peti undi dikira setakat ini, PN mendahului dengan sekitar 3,700 undi dan telah melepasi ambang 50 peratus mengikut anggaran Malaysiakini.

Dengan jumlah itu, PH tidak mungkin dapat memintas.


7.18 pm - PH semakin ketinggalan. Dengan 33 daripada 66 peti undi dikira mengikut keputusan tidak rasmi, Joohari dari PH ketinggalan 2,000 undi setakat ini.


7.00 pm: Walaupun set pertama keputusan, termasuk undi pos, menyaksikan Pakatan Harapan di depan, Perikatan Nasional (PN) nampaknya mula memintas.

Sehingga jam 7 malam, Abidin dari PN mempunyai lebih 1,300 undi setakat ini, manakala PH mempunyai sekitar 1,000 undi.


6.10pm: Sungai Bakap, Nibong Tebal - Seorang guru sekolah tahfiz tidak sempat membuang undi kerana tiba di Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap selepas jam 6 petang.

Mohd Farizal Ahmad, 43, yang datang dari Kepala Batas, Seberang Perai Utara, berkata dia terperangkap dalam kesesakan lalu lintas sepanjang kira-kira 2km.

“Saya tinggal dan mengajar di Kepala Batas tetapi Sungai Bakap adalah kampung halaman saya,” katanya.


6pm: Sungai Bakap, Nibong Tebal - Semua sembilan pusat pengundian ditutup sekali gus berakhirnya proses pengundian.

Tinjauan Malaysiakini di Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap mendapati anggoat polis segera menutup pintu pagar utama apabila jam tepat menunjukkan waktu 6 petang.

Sebelum itu beberapa pengundi saat akhir dilihat sempat menunaikan tanggungjawab mereka.

Kini tumpuan beralih kepada proses pengiraan undi dan keputusannya bagi memuktamadkan siapakah bakal mengisi kekosongan pada kerusi berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS