Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemohon pertikai syarat patuh syariah bagi pinjaman khas peniaga India

Kerajaan didesak memberi penjelasan berhubung syarat patuh syariah bagi pembiayaan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (Brief-i) yang dilancarkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop).

Ini selepas beberapa pemilik restoran makanan India dan pengusaha yang terlibat menjual barangan sembahyang Hindu menyatakan rasa tidak puas hati selepas permohonan mereka ditolak atas alasan tidak mematuhi syariah selain tidak memiliki sijil halal.

Bercakap kepada Malaysiakini dengan syarat namanya tidak didedahkan, seorang pemilik restoran dari Sungai Petani, Kedah berkata bahawa permohonannya ditolak kerana tidak ada sijil halal.

"Saya rasa pelik dengan syarat ini. Pinjaman ini khas untuk usahawan India yang dijamin oleh kerajaan. Jadi, kenapa ada syarat patuh syariah mahupun perlu ada sijil halal kepada pemilik restoran India yang ingin membuat permohonan pinjaman?

"Bukan semua restoran India mampu mendaftar sijil halal. Ada banyak kriteria yang perlu dipatuhi. Perlu belanja (kos) lebih kurang RM6,000. Ramai restoran kecil tak mampu.

"Saya nak tanya kenapa bank itu tak amalkan prinsip pembiayaan konvensional agar semua usahawan India layak untuk membuat pinjaman?" katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengusaha kedai serbaneka dari Klang, Selangor bercakap dengan Malaysiakini mendakwa dia juga tidak layak untuk pinjaman itu kerana menjual barang-barang sembahyang Hindu.

"Saya berjumpa pegawai bank berhubung pinjaman Brief-I. Mereka mempunyai satu klausa yang menyatakan bahawa produk yang dijual mestilah mengikut undang-undang syariah.

"Pegawai itu berkata pengusaha yang menjual barang sembahyang (bukan Muslim), arak atau makanan tidak halal tidak boleh memohon.

"Saya kecewa projek ini diumumkan oleh timbalan menteri (Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia) R Ramanan bahawa ia sepatutnya membantu orang India. Lalu kenapa ada syarat patuh syariah ini? Kebanyakan pasar mini, kedai serbaneka, menjual barangan sembahyang. Jadi, mereka semua tidak boleh memohon pinjaman ini," katanya.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Ramanan untuk mendapatkan komen.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia R Ramanan.

Untuk rekod, Ramanan pada 5 Jun mengumumkan dana peruntukan RM50 juta sebagai pinjaman khas kepada masyarakat India.

Dilaporkan setakat 27 Jun 2024, Brief-i sudah merekodkan lebih 1,000 permohonan daripada usahawan di seluruh negara.

Menurut Ramanan, daripada jumlah ini, 135 permohonan sedang diproses membabitkan jumlah pembiayaan sebanyak RM5.7 juta.

Katanya, Bank Rakyat sudah meluluskan 43 permohonan program pembiayaan Brief-i bernilai RM3.8 juta.

Satu lagi gimik kerajaan

Sementara itu, David Marshall dari Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) menyifatkan pengumuman pinjaman khas buat usahawan India itu sebagai satu lagi gimik kerajaan perpaduan sempena pilihan raya kecil (PRK).

"Kita tahulah setiap kali ada PRK akan ada pengumuman khas kepada masyarakat India daripada kerajaan. Ramanan sendiri kata 43 permohonan berjaya diluluskan. Jumlah permohonan 1,000. Yang lulus 43 sahaja tak sampai 5 peratus.

"Ini sama macam pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan memberi 7,500 kuota khas pekerja asing kepada sektor tekstil, gunting rambut dan tukang emas pada tahun lepas.

"Yang dijanji 7,500, yang diberi tak sampai 300 kelulusan sehingga hari ini. Ini yang saya kata semua janji kerajaan kepada masyarakat India cuma gimik sahaja," katanya.

Katanya, syarat patuh syariah pada pinjaman khas untuk usahawan India adalah tak masuk akal.

"Mana logiknya? Kami pun mendapat banyak aduan dan telah dipanjangkan kepada kerajaan. Tapi, seperti biasa tiada yang memberi penjelasan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Presiden Dewan Perniagaan dan Industri India Kuala Lumpur dan Selangor (KLSICCI) Nivas Ragavan mempertahankan syarat restoran perlu memiliki sijil halal untuk membuat permohonan.

Katanya, cuma segelintir kecil peniaga India terkesan dengan syarat-syarat ini.

"Sekiranya, mereka tidak layak pinjaman Brief-i, mereka masih ada pilihan Tekun atau boleh membuat pinjaman dengan bank lain yang mesra dengan pinjaman-pinjaman SME.

"Bagi saya permintaan sijil halal ini akan memperkembangkan lagi perniagaan kita. Kita tidak akan maju ke depan sekiranya semua yang dilihat dianggap sebagai masalah.

"Kita perlu menyokong usaha-usaha kerajaan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS