Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas MP: RUU Mufti WP perlu dibincang lebih teliti

Bekas ahli parlimen Kangar Noor Amin Ahmad menggesa para wakil rakyat untuk membahaskan Rang Undang- Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan dengan lebih objektif, selepas RUU tersebut dibacakan buat kali pertama di Dewan Rakyat pada 2 Julai lalu.

Noor Amin yang juga pengerusi PKR Perlis berkata, perbahasan seumpama itu akan dapat mempengaruhi kerajaan agar RUU itu dibincang secara lebih teliti.

Dia berkata struktur pentadbiran agama dan bidang kuasa yang jelas boleh dimanfaatkan untuk menunjukkan keluasan dan keindahan Islam dalam melaksanakan keadilan serta menegakkan kebenaran.

“Negara kita umumnya lebih mengutamakan pandangan mazhab Syafie dan perbezaan yang mungkin wujud dalam kerangka ilmiah mesti diraikan dan tidak dijadikan sumber perbalahan yang merugikan umat.

“Sebaliknya ia harus memperkaya dan memantapkan pemahaman umat tentang agama Islam itu sendiri,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Dia mencadangkan satu taklimat dibuat kepada ahli parlimen untuk melihat kesan RUU itu terhadap bidang kuasa negeri dan ketua agama negeri.

Noor Amin juga menyatakan kecenderungan untuk bersetuju dengan pandangan Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin berhubung RUU tersebut.

Mohd Asri Zainul Abidin

Dalam hantaran di Facebook pada 2 Julai lalu, Mohd Asri berkata tidak wajar unuk kerajaan meluluskan sebarang perundangan yang "membelenggu pemikiran rakyat, merampas kebebasan berfikir dan akademik atas nama agama".

"Bagaimana mungkin Wilayah Persekutuan ingin meluluskan satu peraturan yang menyempitkan akal dan minda padahal Wilayah Persekutuan pusat segala intelektual berdebat dan berhujah. Kejumudan membawa kepada ketaksuban dan kebencian antara rakyat dan pemerintah," katanya lagi.

Kritikan itu dipercayai merujuk kandungan RUU tersebut berhubung takrifan kepada aliran Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Perkara empat RUU tersebut mentakrifkan Ahlus Sunnah Wal Jamaah dari sudut akidah bersumberkan aliran Al-Asyairah dan Al-Maturidiah, fikah Mazhab Syafie dengan meraikan tiga Mazhab yang lain, dan tasawuf Imam Ghazali dan Imam Junaid.

Antara yang menyuarakan sokongan terhadap RUU itu adalah Mufti Pahang Prof Dr Asmadi Mohamed Naim yang berkata ia memperkemas takrifan Ahlus Sunnah Wal Jamaah serta dapat mencegah perlakuan ekstrem dan fahaman radikal.

Mufti Sabah Bungsu Aziz Jaafar juga berkata ia mampu mengekang sikap ekstrem dan radikal dalam agama.

Mengulas lanjut, Noor Amin berkata perbezaan yang wujud dalam aliran sejak sekian lama membuktikan ia tidak dapat diselesaikan melalui kuasa, maka ia perlu diterima sebagai rahmat.

“Ilmuwan Islam mesti mampu menterjemahkan perbezaan sebagai rahmat dan bukan menajamkan perbezaan secara tidak wajar sehingga mendorong umat berpecah-belah,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS