Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jawapan SKMM Hisham bukan subjek siasatan 'difikir kemudian' - peguam
Diterbitkan:  Jul 6, 2024 10:35 AM
Dikemaskini: 2:35 AM

Peguam Zaid Malek menolak penjelasan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bahawa aktivis Hishamuddin Rais bukan subjek siasatannya, berkata ia hanya 'jawapan yang difikirkan kemudian’ oleh badan itu.

Pengarah Lawyers for Liberty (LFL) itu memetik laporan polis yang memulakan siasatan (terhadap Hishamuddin).

Menurut Zaid, ia secara khusus dibuat terhadap catatan Hishamuddin di blog "TukarTiub" dan bukannya hantaran asal yang ditulis oleh bekas ahli parlimen Tamrin Ghafar.

"Apabila kenyataan Hishamuddin direkodkan, saya hadir sebagai peguamnya. Semua soalan yang diajukan kepadanya adalah berkaitan untuk mewujudkan unsur-unsur kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) terhadapnya.

"Soalan-soalan ini termasuk pemilikan blog itu, sama ada catatan itu dimuat naik oleh Hishamuddin, atau sama ada dia telah mengesahkan atau menyemak fakta artikel itu sebelum memuat naiknya," kata Zaid pada satu kenyataan hari ini.

"Daripada soal siasat ini, mana-mana orang yang munasabah dapat melihat bahawa Hishamuddin adalah subjek siasatan. Pendek kata, dia selama ini dilayan sebagai suspek," dakwa Zaid.

Hishamuddin disoal siasat selama lebih dua jam pada Khami, di balai polis Brickfields di Kuala Lumpur, berhubung catatan blog yang menyoal mengenai kesihatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Terdahulu, anggota polis dan pegawai SKMM turut memeriksa cakera keras komputer Hishamuddin di rumahnya.

Dalam catatan blog yang diterbitkan semula oleh Hishamuddin, Tamrin anak kepada bekas timbalan perdana menteri Ghafar Baba, berkata dia dipanggil ke ibu pejabat polis Bukit Aman pada 30 April berhubung artikel lain yang ditulisnya, yang juga berkaitan dengan Anwar.

Semalam, SKMM berkata Hishamuddin bukan subjek siasatannya. Sebaliknya, dia hanya disoal siasat untuk memudahkan siasatan terhadap kes yang sedang berjalan, kata suruhanjaya itu pada satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Zaid menyoal kenapa polis dan pegawai SKMM menggeledah rumah anak guamnya, termasuk tanpa waran, jika dia bukan subjek siasatan.

“Pihak berkuasa juga menggunakan seksyen 249 akta komunikasi dan multimedia dan memaksa Hishamuddin menyerahkan nama pengguna dan kata laluannya untuk forensik SKMM menjalankan analisis blog.

"Ini bukan tindakan yang diambil terhadap seseorang yang hanya menjadi saksi kepada kesalahan itu; jelas sekali bahawa Hishamuddin sendiri adalah subjek siasatan di bawah seksyen 233(1)(a) akta komunikasi dan multimedia.

"SKMM kini menafikan bahawa Hishamuddin sedang disiasat adalah semata-mata jawapan yang difikirkan kemudian untuk menutup ugutan dan gangguan yang jelas terhadap Hishamuddin kerana menonjolkan kritikan terhadap perdana menteri," kata Zaid.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS