mk-logo
Berita
MCA kesal ada pelajar 10A bukan bumiputera gagal ke matrikulasi
Diterbitkan:  Jul 6, 2024 9:47 AM
Dikemaskini: 7:06 AM

Presiden MCA Wee Ka Siong melahirkan rasa kecewa selepas beberapa lepasan SPM bukan bumiputera yang cemerlang gagal dalam rayuan mereka untuk mendaftar ke program matrikulasi kerajaan.

Ini walaupun Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan minggu lepas semua lepasan SPM mendapat 10A atau lebih tinggi dalam SPM akan dijamin mendapat tempat di institut matrikulasi, tanpa mengira kaum.

Wee berkata pejabatnya dan pejabat Pemuda MCA telah menerima panggilan daripada ibu bapa yang kecewa kerana anak-anak mereka gagal ke program matrikulasi.

"Meskipun, PM telah membuat pengumuman rasmi tentang keputusan kabinet, namun pelajar cemerlang tetap gagal memasuki Kolej Matrikulasi. Mereka hampa buat kali kedua.

"Saya turut merasakan kesedihan para pelajar kerana mereka sangat kecewa apabila gagal dalam percubaan rayuan mereka walaupun mendapat 10A atau 9A,” katanya pada hantaran di Facebook.

Terdahulu, dilaporkan MCA membantu 173 pelajar yang meminta bantuan MCA untuk mendapat tempat dalam program prauniversiti, termasuk 69 lepasan SPM yang mendapat 10A.

Dalam satu kenyataan berasingan hari ini, pengerusi jawatankuasa pendidikan Pemuda MCA Ong Chee Siang berkata hanya 23 pelajar berjaya dalam rayuan mereka, kesemua mereka telah mendapat 10A atau ke atas.

Katanya, seorang lepasan SPM gagal ke program matrikulasi walaupun mempunyai 10A+.

Ong menggesa Anwar menjelaskan mengapa ramai yang gagal memasuki program matrikulasi walaupun mendapat markah dan jaminan perdana menteri.

“Pemuda MCA berharap perdana menteri dapat memberikan jawapan yang jelas dan menjelaskan apa masalahnya. Mengapa realitinya tidak menepati janji-janji itu walaupun menteri pendidikan dan menteri pengajian tinggi memberi jaminan bahawa pelajar bukan bumiputera dengan 10A akan didaftarkan tanpa menjejaskan kuota?

“Sehingga hari ini, pelajar yang hanya mengambil sembilan mata pelajaran seolah-olah ditinggalkan oleh kementerian pendidikan.

"Masih tiada berita sama ada mereka layak untuk mendaftar ke program matrikulasi atau tidak,” kata Ong.

Program itu ditawarkan sebagai alternatif kepada STPM untuk kemasukan universiti, dengan 90 peratus tempat bahi program itu dikhaskan kepada pelajar bumiputera.

Walaupun Anwar telah membuat pengumuman itu namun masih kurang jelas bagaimana dasar baru itu akan dilaksanakan.

MCA juga telah mengkritik dasar baru itu sebagai tidak adil kepada pelajar yang mengambil kurang daripada 10 mata pelajaran peperiksaan SPM.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS