Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images

PRK SG BAKAP | Calon PH Joohari Ariffin bertanding satu lawan satu menentang calon PN Abidin Ismail.

Malaysiakini melaporkan secara langsung liputan hari pengundian.


4.30 petang, Sungai Bakap: Dalam tempoh sejam berlalu, bilangan pengundi yang keluar memilih di Sungai Bakap hanya meningkat 6.45 peratus.

Berdasarkan data yang dikeluarkan SPR, setakat jam 4 petang tadi, jumlah pengundi yang keluar ialah 57.77 peratus.


3.30 petang, Sungai Bakap: Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, setakat jam 3 petang tadi, kadar keluar mengundi ialah sebanyak 51.32 peratus.

Secara keseluruhan ada seramai 39,222 orang layak mengundi di Sungai Bakap.

Semua pusat mengundi akan ditutup pada jam 6 petang nanti.


2.40 petang, Sungai Bakap: Ketika peratusan keluar mengundi menunjukkan tanda-tanda yang rendah, calon PH-BN, Joohari Ariffin, membuat gesaan agar orang ramai menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Katanya orang ramai diminta membuat pilihan masing-masing sebelum pusat pengundian ditutup pada jam 6 petang ini.

"Saya menyeru agar marilah kita sama-sama menunaikan tanggungjawab dalam masa kita yang masih berbaki kira-kira empat jam dari sekarang.

“Keluarlah mengundi kerana mengundi merupakan satu tanggungjawab," katanya melalui pesanan video di media sosial.

Maklumat daripada Suruhanjaya Pilihan Raya menyatakan setakat jam 2 petang tadi, peratusan keluar mengundi belum pun mencapai 50 peratus iaitu sekadar 44.59 peratus.


2 petang, Sungai Duri: Pengundi yang keuzuran turut keluar memilih hari ini.

Menurut Bernama, Rosnah Ramli, 50, tiba di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Sungai Duri dengan bantuan ambulans kira-kira jam 11 pagi.

Rosnah mengalami kesan strok di bahagian kiri badan sejak tiga tahun lalu sehingga menyebabkannya tidak boleh berjalan.


1 tengah hari, Sungai Bakap: Suruhanjaya Pilihan Raya menyatakan kadar peratusan keluar mengundi setakat jam 1 tengah hari ialah 38.28 peratus


Jentera PH, PN langgar undang-undang pilihan raya?

12 tengah hari: Sungai Duri, Nibong Tebal - Kedua-dua jentera PH dan PN masih giat meraih undi kira-kira 100 meter dari pusat mengundi.

Salah seorang polis bertugas berkata mereka telah cuba untuk menghentikan mereka, antaranya daripada melaungkan slogan kempen, namun gagal.

"Buat masa sekarang, kami hanya boleh kawal keadaan untuk elakkan sebarang tindakan provokasi," katanya kepada Malaysiakini.

Tindakan berkempen ketika hari mengundi menyalahi Seksyen 26(1)(f) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.


Pengerusi SPR gesa keluar mengundi

11.30 pagi: Sungai Duri, Nibong Tebal - Pengerusi SPR Ramlan Harun menggesa pengundi untuk keluar mengundi secepat mungkin, susulan kadar keluar mengundi yang masih rendah.

Dengan keadaan cuaca yang sukar diramal, Ramlan menasihatkan orang amai agar keluar awal.

Dia juga menjangka kadar keluar mengundi lebih rendah berbanding PRN lalu, namun tetap yakin semakin ramai akan berbuat demikian nanti.

Setakat 11 pagi ini, Ramlan berkata kadar keluar mengundi adalah 24 peratus.


Munajat Muslimah PAS doa kemenangan calon PN

11.15 pagi: Puteri Gunung, Nibong Tebal - Sekumpulan petugas jentera PN terdiri daripada ahli Dewan Muslimat PAS mengambil inisiatif dengan bermunajat dan berdoa memohon kemenangan calon mereka.

Seorang petugas pilihan raya yang enggan namanya disiarkan berkata inisiatif itu adalah salah satu usaha dengan berdoa kepada Allah SWT.

“Insya-Allah kami mengambil inisiatif ini dengan harapan calon PN diberi kemenangan dalam PRK Sungai Bakap ini,” katanya.


PH harap 65 peratus keluar undi

11 pagi: Puteri Gunung, Nibong Tebal - Pengerusi PH Pulau Pinang Chow Kon Yeow berharap peratusan keluar mengundi bagi PRK Sungai Bakap dapat melepasi 65 peratus.

Menurutnya dua pusat pembuangan undi iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tesek Mutiara dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Boon Beng menjadi dua pusat mengundi yang mempunyai jumlah pengundi paling ramai.

Ia melibatkan lebih 14,000 pengundi di kedua-dua pusat mengundi berkenaan.

“Hari ini masuk hari yang pengundi akan buat keputusan, harap juga keadaan cuaca kekal baik sehingga petang supaya mengurangkan gangguan dan keselesaan kepada pengundi untuk datang beramai-ramai menunaikan kewajipan sebagai pengundi.

“Sebelum ini memang banyak pandangan mengatakan bahawa peratusan keluar mengundi akan rendah tetapi kita masih mengharapkan ia boleh capai 65 peratus ke atas,” kata Chow yang juga ketua menteri negeri itu.

Katanya, purata atau keadaan setiap PRK semenangnya kurang sedikit berbanding PRU dan kita masih menarih harapan calon mewakili kerajaan perpaduan akan dapat capai kemenangan.

“Kita berada di pusat mengundi ini di SMK Tasek Mutiara yang merupakan pusat mengundi yang paling ramai pengundi sehingga lebih 8,000. Satu lagi di SKJ(C) Boon Beng (lebih 5,000 pengundi) untuk pusat daerah mengundi Puteri Gunung, ini dua pusat mengundi yang paling ramai pengundi yang akan mempengaruhi keputusan sebab jumlah pengundi yang ramai,” katanya selepas meninjau proses pengundian berlangsung.


PRK Sg Bakap: 16.74 peratus keluar undi setakat 10 pagi

10 pagi: Nibong Tebal - Kesemua sembilan pusat mengundi melibatkan 65 saluran dibuka serentak pada 8 pagi tadi.

Sebanyak 16.74 peratus pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap telah menunaikan tanggungjawab mereka setakat 10 pagi ini, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kesemua sembilan pusat mengundi melibatkan 65 saluran dibuka serentak pada 8 pagi tadi untuk memberi ruang kepada 39,151 pengundi berdaftar melaksanakan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu kawasan itu hari ini.

Pusat pengundian berkenaan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Boon Beng, SMK Bandar Tasek Mutiara, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tasek, SK Sungai Duri, SMK Tun Syed Sheh Barakbah, SK Sungai Bakap, SK Jawi dan SK Sungai Kechil.

Kesemua pusat mengundi berkenaan akan ditutup pada 6 petang ini, sebelum proses penjumlahan undi berlangsung di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi di Nibong Tebal.


Joohari mulakan lawatan di ‘kawasan hitam’

9.30 pagi: Sungai Duri, Nibong Tebal - Calon Pakatan Harapan (PH) Joohari Ariffin memulakan lawatan ke pusat daerah mengundi di kawasan yang dianggap penganalisis sebagai kawasan "hitam" untuk gabungannya.

Berbaju biru muda, bekas pendidik itu menyatakan kenyakinannya ketika berkunjung ke daerah mengundi yang sudah tidak asing lagi buat dirinya selaku anak jati Sungai Bakap.

Tanpa iringan rombongan, Joohari melalui setiap saluran di Sekolah Kebangsaan Sungai Duri dan menegur petugas pilihan raya dan pengundi dengan senyuman.

Mengulas cuaca cerah awal hari ini, Joohari berkata dia berpuas hati dengan peratusan keluar mengundi berdasarkan pemerhatiannya pagi tadi.


Anak jati Sg Duri, Abidin ada undi keluarga

9.15 pagi: Sungai Duri, Nibong Tebal - Pastilah bukan rahsia siapa yang diundi calon PN Abidin Ismail pada PRK kali ini.

Ketika ditanya wartawan siapa yang diundi, dia menunjukkan isyarat tangan nombor dua.

Dilahirkan dan dibesarkan di Sungai Duri, Abidin berkata sekurang-kurangnya lima ahli keluarganya akan mengundi PN.


Sg Duri ‘kawasan hitam’ PH

8.30 pagi: Sungai Duri, Nibong Tebal - Pengundi mula beratur seawal jam 7 pagi.

Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Duri merupakan 'kawasan hitam' untuk PH kerana gabungan itu tewas pada pilihan raya negeri yang lalu.

Seorang pengundi yang enggan dinamakan memberitahu Malaysiakini dia datang awal kerana perlu bekerja selepas menunaikan tanggungjawabnya sebagai warga.


Abidin mengundi

8.15 pagi: Sungai Duri, Nibong Tebal - Calon PN Abidin Ismail tiba di SK Sungai Duri untuk membuang undi.

Abidin, 56, yang memakai baju putih dilihat melambai ke arah orang ramai sebaik tiba sebelum mengundi pada jam 8.20 pagi.


Sungai Bakap memilih

8.00 pagi: Nibong Tebal - Sembilan pusat pengundian melibatkan 65 tempat mengundi atau saluran bagi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap dibuka serentak pada 8 pagi ini.

Pusat pengundian tersebut ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Boon Beng, SMK Bandar Tasek Mutiara, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tasek, SK Sungai Duri, SMK Tun Syed Sheh Barakbah, SK Sungai Bakap, SK Jawi dan SK Sungai Kechil.

Kesemua pusat mengundi berkenaan akan ditutup pada 6 petang ini, sebelum proses penjumlahan undi berlangsung di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi di Nibong Tebal.

Proses pengundian hari ini melibatkan 39,151 pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat baru DUN Sungai Bakap.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS