Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Sebelum disahkan menghidap leukemia, Muhammad Razan Afzal Abdul Razak, 9, adalah seorang murid yang aktif di sekolah.

Dia yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Felda Panching Selatan, dekat Kuantan, Pahang, sangat meminati mata pelajaran matematik dan rapat dengan rakan sekelasnya yang lain.

Namun, Muhammad Razan Afzal kini hanya mampu berehat di rumah selain perlu menjalani rutin kemoterapi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Ibunya, Rozemi Ngah, 51, berkata anak bongsu daripada lima beradik itu mempunyai semangat yang kuat walaupun masih muda.

"Memanglah sesekali ketika dan selepas menjalani prosedur kemoterapi, dia akan berubah sikit... adakalanya dia jadi marah-marah, kadang-kadang dia jadi pendiam.

"Kami sebagai ibu bapa perlu kuatkan mental untuk melayan kerenah dia dan selalu beri semangat," katanya ketika ditemui di kediaman mereka dekat Felda Panching Selatan, Kuantan, semalam.

Terdahulu, keluarga itu dikunjungi Adun Panching, Mohd Tarmizi Yahaya yang menyampaikan sumbangan peribadi untuk meringankan bebanan ditanggung mereka.

Mohd Tarmizi Yahaya menziarahi Muhammad Razan semalam

Ketika diminta menceritakan semula mengenai penyakit leukemia dihidapi Muhammad Razan Afzal, Rozemi berkata, anaknya itu tidak menunjukkan tanda kecuali mengalami demam hampir dua minggu sekitar Okt tahun lalu.

"Sebelah malam dia demam dan pada siang hari dia masih mampu pergi sekolah. Hinggalah satu hari tu dia cakap tak daya nak angkat beg.

"Kemudian saya tengok badan dia ada kesan lebam dan muka pucat, jadi saya bawa ke klinik dekat kampung ni juga untuk pemeriksaan.

"Ketika pemeriksaan itu, doktor cakap kena ambil darah untuk buat ujian... selepas itulah doktor maklumkan kepada saya sel darah putih anak saya lebih banyak daripada sel darah merah," katanya lagi.

Beban kos ulang alik

Doktor kemudiannya memberi pilihan kepada Rozemi untuk menjalankan rawatan susulan sama ada di HSNZ, Kuala Terengganu atau Hospital Kuala Lumpur.

"Lepas berbincang dengan suami, kami pilih untuk mendapatkan rawatan seterusnya di HSNZ sebab lebih mudah nak ke sana," jelasnya.

Rozemi mengakui berdepan kesempitan bagi menampung kos ulang-alik untuk tujuan rawatan kemoterapi Muhammad Razan Afzal.

Katanya, saudara-mara dan adik-beradik banyak membantu apabila mereka kekurangan wang bagi membiayai kos perjalanan ke HSNZ.

Rozemi Ngah melayan anaknya membuat latihan

Rozemi memaklumkan Muhammad Razan Afzal perlu melalui rawatan kemoterapi untuk tempoh dua tahun setengah.

"Untuk rawatan tidak ada masalah sangat sebab Muhammad Razan Afzal ada surat dari pihak sekolah, jadi semua (rawatan kemoterapi) percuma.

"Cuma untuk kos pergi balik ke sana sajalah... memang ada kalanya kami terpaksa meminjam wang daripada adik-beradik dan saudara-mara, tapi mereka semua memahami dan banyak membantu.

"Macam suami saya pun bekerja sebagai mekanik dengan pendapatan yang tidak tetap dan saya suri rumah sepenuh masa... nak kata membeban tu, tak bolehlah sebab ini tanggungjawab kami sebagai ibu bapa untuk mencari jalan demi anak kami," ujarnya.

Ditanya mengenai bantuan diperlukan keluarga mereka, Rozemi menjelaskan mereka tidak mahu meminta-minta cuma berharap ada yang sudi membantu dengan ikhlas untuk menampung kos perjalanan Muhammad Razan Afzal menjalani rawatan.

"Bab makan apa semua, insya-Allah... semua dah mencukupi sekadar kami mampu, kalau ada yang ikhlas nak bantu, kami terima dengan hati terbuka.

"Kami tak mahu meminta-minta sebab selagi kami masih boleh usaha, kami akan cari jalan untuk memastikan Muhammad Razan Afzal kembali pulih seperti dulu," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS