Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengeluar kopi Aik Cheong nafi eksport produk ke Israel
Diterbitkan:  Jul 5, 2024 6:30 PM
Dikemaskini: 10:54 AM

Pengeluar kopi tempatan Aik Cheong Coffee Roaster Sdn Bhd (Aik Cheong) menafikan syarikatnya mengeksport serbuk kopi segera Golden Eagle dan serbuk untuk membuat kapucino ke Israel.

Dalam kenyataan hari ini, Aik Cheong menjelaskan dua produk tersebut adalah milik penuh pelanggannya di Rusia.

“Aik Cheong adalah pengilang dan hanya mengeluarkan produk yang dieksport secara terus ke Rusia dan bukan ke negara tersebut (Israel)," katanya, sambil menambah syarikatnya mempunyai pelanggan di 50 negara, dan Israel tidak termasuk dalam senarai itu.

Kenyataan itu sebagai mengulas laporan Malaysiakini pada 27 Jun lalu, berkenaan data rasmi dari Israel yang menunjukkan puluhan pengeluaran produk makanan dari syarikat Malaysia telah diimport oleh syarikat Israel untuk pasaran di sana.

Antaranya adalah Aik Cheong, menerusi dua produknya - serbuk kopi segera Golden Eagle dan serbuk untuk membuat kapucino - yang menerima sijil kosher dari Majlis Ketua Rabai Israel sejak 7 Oktober.

Namun begitu, tidak jelas dari data itu jika syarikat pengimport telah berurusan dengan syarikat Malaysia tersebut atau telah menggunakan ejen pihak ketiga, atau mengimport dari negara lain.

Mengulas lanjut, Aik Cheong berkata pelanggannya di luar negara ada kebebasan dan hak untuk menjalankan perniagaan dengan mana-mana negara mengikut dasar dan perjanjian mereka sendiri.

“Bagaimanapun, kami telah mengingatkan pelanggan kami untuk tidak menjalankan perniagaan dengan negara yang dikenakan sekatan oleh Malaysia,” kata syarikat itu.

Mengenai sijil kosher yang diberikan, syarikat itu menegaskan pihaknya tidak dimaklumkan berhubung perkara tersebut.

“Berkaitan sijil kosher, ia telah didaftarkan oleh pihak pengedar kepada pelanggan Rusia kami tanpa maklum kepada kami.

“Justeru itu, pihak kami mengarahkan pelanggan Rusia meminta pengedar mereka supaya sijil tersebut dibatalkan,” katanya

Data rasmi berkenaan produk Malaysia yang dieksport ke Israel itu diperoleh dan diselidik oleh Arabic Post. Ia diselia oleh Majlis Ketua Rabai Israel, iaitu badan keagamaan tertinggi di Israel yang mengeluarkan sijil kosher untuk tujuan pemasaran di Israel.

Makanan dan bahan mentah yang mendapat sijil kosher disahkan boleh dimakan oleh warga Yahudi mengikut peraturan diet agama tersebut, dan logo sijil itu diletakkan di keluaran yang dijual di Israel.

Ia sama seperti sijil halal yang diberikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan agensi halal di negara-negara lain.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS