Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Alasan Noh sertai Bersatu low class, kata Puad
Diterbitkan:  Jul 5, 2024 3:25 PM
Dikemaskini: 7:25 AM

Beberapa jam selepas media melaporkan betapa Noh Omar kini menjadi salah seorang pemuka Bersatu, salah seorang pemimpin Umno tidak berbasa-basi mengecam bekas menteri kanan berkenaan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi, mendakwa Noh sekadar "menjual nama" Najib Razak untuk menjustifikasikan langkahnya menyertai Bersatu.

Menggelar Noh bukan penyokong tegar kepada Najib, Mohd Puad berkata, tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan apabila dia memilih Bersatu sebagai wadah politik.

"Low class punya alasan. Noh bukan die hard Najib. Apa dia boleh buat untuk membela Najib kalau masuk Bersatu?

"Muhyiddin (Yassin) dan Bersatu lagi kuat mahu Najib dipenjarakan. Lagi lama ditahan lagi bagus (untuk mereka)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Noh adalah salah seorang watak penting Umno sama ada di peringkat nasional mahupun Selangor.

Selain menjadi menteri, Noh juga pernah dilantik mengetuai Umno Selangor - antara lain membawa misi merampas negeri itu daripada Pakatan Rakyat dan PH.

Zulkafperi dah sokong PM

Semasa PN menjadi kerajaan dengan sokongan BN, Noh, 66, merupakan anggota kabinet Muhyiddin, dan pada masa sama lantang mengkritik pemimpin Umno.

Dia akhirnya dipecat daripada Umno atas faktor disiplin.

Menurut laporan Bernama, Noh yang juga bekas ahli parlimen Tanjong Karang mengemukakan permohonan menyertai Bersatu secara dalam talian kelmarin dan kelulusan diberikan secara serta-merta.

Sebelum Noh menyertai Bersatu, anaknya, Nurul Syazwani, terlebih dahulu mengambil tindakan sama dan diletakkan menjadi calon PN dalam pilihan raya negeri pada tahun lalu.

Nurul Syazwani memenangi kerusi Permatang - yang terletak dalam kawasan parlimen Tanjong Karang - mengetepikan calon PH, Yahya Sahri, dengan perbezaan 1,728 undi.

Mohd Puad berkata langkah Noh menyertai Bersatu beberapa hari lalu mempunyai maksud tersirat.

Noh dan anaknya, Nurul Syazwani

Dakwa Speaker Dewan Undangan Negeri Johor itu lagi, Noh sebenarnya mengidam menjadi calon untuk kerusi Tanjong Karang yang kini diwakili Zulkafperi Hanapi.

Zulkafperi merupakan calon Bersatu-PN dalam PRU ke-15 pada 2022 dan memenangi kerusi berkenaan daripada BN.

Bagaimanapun dia mengumumkan langkah menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 24 Jan lalu, menjadikan dia ahli parlimen Bersatu yang keenam berbuat demikian.

"Dia (Noh) yakin kerusi itu akan dikosongkan," dakwa Mohd Puad.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS