Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jabatan Perikanan jelaskan isu plastik dijadikan makanan ikan
Diterbitkan:  Jul 5, 2024 11:47 AM
Dikemaskini: 3:49 AM

Jabatan Perikanan mengeluarkan penjelasan berhubung laporan media berkenaan tindakan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah menyerbu sebuah kilang kitar semula.

Serbuan itu dibuat di sebuah kilang di Kuala Muda, yang disyaki beroperasi secara haram, pada 3 Julai lalu dan mendapat liputan meluas media, yang antara lain menyatakan plastik dikitar semula untuk dijadikan palet makanan ikan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata, pemeriksaan mendapati kira-kira 100 tan plastik telah dikitar semula menjadi palet dan dibungkus dalam beg plastik dengan label "makanan ikan air tawar".

Dalam kenyataan semalam, Jabatan Perikanan berkata laporan berkenaan perkara itu telah mencetuskan kerisauan di kalangan penternak ikan.

"Kilang ini didapati memproses bahan kitar semula menjadi palet plastik dan membungkusnya menggunakan beg plastik kitar semula.

"Beg pembungkusan yang digunakan adalah beg makanan ikan, yang telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penternak bahawa palet plastik tersebut adalah makanan ikan," katanya.

Jabatan itu memberi jaminan bahawa PSJ Feed Sdn Bhd - yang tertera pada beg tersebut - adalah kilang makanan ikan yang sah dan beroperasi sejak 2022 dan tiada kaitan dengan kilang kitar semula itu.

"PSJ Feed Sdn Bhd dalam proses mendapatkan pensijilan FQC (Fish Quality Certification) yang menunjukkan komitmen mereka terhadap kualiti dan

keselamatan produk.

"Siasatan akan dibuat oleh Jabatan Perikanan dengan pengambilan sampel makanan di kilang PSJ Feed Sdn Bhd bagi pengesahan komposisi makanan.

"Keputusan analisa sampel makanan ikan akan dikeluarkan dalam tempoh 14 hari bekerja," kata jabatan itu lagi.

Jabatan itu turut menjamin semua makanan ikan yang dikeluarkan kilang yang berdaftar serta mematuhi piawaian selamat digunakan, dan pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Veterinar dan agensi lain dalam memantau kilang pengeluar makanan haiwan bagi memastikan kilang mematuhi syarat yang ditetapkan dalam Akta Makanan Haiwan 2009.

Jabatan turut menggesa penternak ikan agar berwaspada dalam memastikan makanan ikan dibeli daripada sumber yang sah dengan sijil yang diiktiraf.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS