Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam: Gugurkan siasatan terhadap Hisham Rais serta-merta
Diterbitkan:  Jul 5, 2024 10:59 AM
Dikemaskini: 2:59 AM

Kerajaan digesa segera menggugurkan siasatan yang disifatkan "keterlaluan" terhadap aktivis politik Hishamuddin Rais berhubung catatan blognya yang menimbulkan persoalan mengenai kesihatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Peguam Zaid Malek yang mewakili Hishamuddin berkata Anwar harus memfailkan saman sivil seperti semua rakyat lain jika dia merasakan dirinya telah difitnah dan bukan menggunakan pihak berkuasa untuk menjaga reputasinya.

"Siasatan terhadap Hishamuddin cukup mengejutkan. Seksyen 233 CMA (Akta Komunikasi dan Multimedia) adalah undang-undang menindas dan zalim yang pernah dijanjikan oleh gabungan PH pimpinan Anwar untuk dimansuhkan.

"Sebaliknya, mereka menggunakan Seksyen 233 terhadap seorang veteran dan aktivis hak sivil yang dihormati yang pernah berganding bahu dengan Anwar dan pemimpin Pakatan Harapan lain untuk Malaysia yang lebih baik," kata Zaid, yang juga pengarah Lawyers for Liberty (LFL) pada satu kenyataan hari ini.

Semalam, Hishamuddin disoal siasat selama lebih dua jam di balai polis Brickfields di Kuala Lumpur, berhubung catatan blog yang diterbitkan pada 25 April, yang asalnya ditulis oleh bekas ahli parlimen Tamrin Ghafar.

Terdahulu, polis dan pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memeriksa cakera keras komputer Hishamuddin di rumahnya.

'Adakah kita ikut China, Korea Utara?'

Mengulas lanjut, Zaid berkata siasatan terhadap Hishamuddin satu 'sandiwara' kerana anak guamnya hanya menerbitkan semula artikel yang ditulis oleh orang lain.

Zaid menyoal jika Anwar, yang pernah memperjuangkan kebebasan bersuara, kini tidak boleh ditegur.

"Beliau (Anwar) kini secara sewenang-wenangnya menggunakan pihak berkuasa penguatkuasaan terhadap pengkritiknya, menggunakan undang-undang yang pernah dijanjikan dengan sungguh-sungguh untuk dimansuhkan.

"Adakah kita kini mencontohi Korea Utara atau China dengan pemimpinnya yang berada di atas kedaulatan undang-undang?

"Jika PM merasakan dia telah difitnah dengan tulisan tersebut, dia mesti memfailkan saman sivil seperti semua rakyat lain.

"Dia tidak memegang jawatan istimewa di bawah undang-undang dan dia tidak berhak mendapat perlindungan reputasi peribadinya daripada pihak penguatkuasa yang dibiayai oleh orang ramai,” kata Zaid sambil menyifatkan tindakan agensi penguatkuasaan sebagai salah guna kuasa dan pembaziran wang pembayar cukai.

Zaid kemudian menggesa siasatan "bermotifkan politik" terhadap Hishamuddin dihentikan serta-merta.

Kerajaan akan bersubahat jika ia berdiam diri mengenai siasatan terhadap pengkritiknya, tegasnya.

"Perkara yang betul untuk kerajaan lakukan ialah membuat keputusan dasar untuk menggantung penggunaan seksyen 233 sementara menunggu pemansuhan. Biarkan penganiayaan Hishamuddin menjadi yang terakhir di bawah seksyen 233 CMA itu.

"Sementara itu, kami akan meneruskan semua cara undang-undang terhadap siasatan yang menyalahi undang-undang dan berniat jahat ini terhadap Hishamuddin," kata Zaid.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS