Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penemuan audit: Menteri arah CEO, ketua SU HRD Corp lapor SPRM
Diterbitkan:  Jul 5, 2024 10:17 AM
Dikemaskini: 2:17 AM

Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) tidak menghalang jika ada mana-mana pihak berkaitan ingin melakukan siasatan lanjut terhadap agensi di bawahnya susulan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 yang diterbitkan pada Khamis, kata Menterinya Steven Sim Chee Keong.

Dalam kenyataan hari ini, Sim berkata Kesuma tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan yang bertentangan undang-undang malah telah mengarahkan Ketua Setiausaha Kesuma Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Ketua Eksekutif HRD Corp Datuk Shahul Hameed Dawood untuk melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tentang penemuan LKAN.

“Kesuma mengambil serius laporan oleh Jabatan Audit Negara (JAN) dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Proses pengauditan itu terhadap operasi HRD Corp dari 2019 hingga 2023,” kata Sim.

Beliau juga sudah dimaklumkan mengenai proses pengauditan oleh kedua-kedua badan itu ketika mengambil alih portfolio kementerian pada pertengahan Dis 2023 dan mengarahkan Kesuma serta HRD Corp untuk memberi kerjasama penuh kepada JAN dan PAC.

Selain itu, beliau berkata Sim telah memulakan proses rekayasa merentasi kementerian bagi memastikan tatakelola yang cekap serta rekayasa di peringkat HRD Corp juga dilaksanakan untuk memastikan isu yang dibangkitkan dalam laporan JAN dan PAC tidak berulang.

Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam (LKAN) 2/2024 berkata Kesuma disyorkan merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan ekoran kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dibuat.

Wan Suraya berkata terdapat tindakan serta keputusan yang diambil oleh pengurusan HRD Corp tidak mematuhi prosedur dan tidak menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat dan Kesuma perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan HRD Corp bagi ketidakteraturan yang dikenal pasti.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS