Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Teguran laporan audit: HRD Corp laksana 7 penambahbaikan
Diterbitkan:  Jul 5, 2024 9:30 AM
Dikemaskini: 6:04 AM

Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB, sering dirujuk HRD Corp) telah melaksanakan beberapa pembaharuan dalam usaha menambah baik tatakelola organisasi itu tahun ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah PSMB Abu Huraira Abu Yazid berkata penambahbaikan itu berdasarkan arahan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong di bawah rekayasa Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Katanya, antara langkah yang diambil ialah pembatalan projek “Skills Passport” tanpa sebarang kos dan kerugian kepada PSMB atau kerajaan serta pengasingan Jawatankuasa Risiko dan Audit menjadi dua jawatankuasa berbeza, iaitu Jawatankuasa Risiko dan Jawatankuasa Audit.

“Setiap jawatankuasa ini dianggotai ahli lembaga pengarah yang berbeza dan akan dipengerusikan oleh dua ahli lembaga bebas bukan eksekutif yang berpengalaman dalam bidang utama bagi kedua-dua fungsi tersebut,” katanya dalam kenyataan semalam.

Abu Huraira berkata turut dilaksanakan pengenalan Akaun Inisiatif Strategik (SIA) yang berasingan dengan akaun amanah levi bertujuan memastikan pengurusan kewangan lebih telus serta cekap, dan langkah ini memperkukuhkan lagi proses untuk memastikan levi majikan hanya digunakan bagi tujuan latihan kemahiran pekerja majikan berdaftar.

“SIA dibiayai melalui keuntungan terkumpul PSMB dan bukan menggunakan dana levi, dengan tujuan menyokong peningkatan kemahiran dan pembangunan modal insan dalam sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), mikroPKS dan komuniti rentan,” katanya.

Beliau berkata PSMB turut memperketatkan proses dalaman bagi mendapatkan kelulusan Panel Pelaburan merangkumi sebahagian Ahli Lembaga Pengarah yang berpengalaman dalam bidang pelaburan termasuk memperkasakan bahagian perbendaharaan PSMB yang akan menjalankan usaha wajar untuk setiap pelaburan.

“PSMB turut memudah cara serta menggalakkan penggunaan levi oleh majikan melalui dasar-dasar baharu.

"Contohnya, levi kini boleh digunakan untuk mendapatkan khidmat penyedia latihan kemahiran global seperti Google, LinkedIn, Microsoft, Udemy, Alibaba dan sebagainya, selain 50 peratus baki levi juga boleh digunakan untuk menaik taraf kemudahan latihan dalaman dan membayar elaun pelatih amali,” katanya.

Selain itu, Abu Huraira berkata PSMB mempertingkat kecekapan proses kelulusan geran dan pembayaran geran latihan daripada tujuh hari ke 24 jam serta melaksanakan sistem pemantauan permohonan latihan.

“Setiap permohonan hanya boleh menggunakan geran kerajaan untuk latihan sekali sahaja berdasarkan rekod nombor kad pengenalan yang telah didaftarkan.

"Sistem terbaru ini akan menolak permohonan secara automatik sekiranya terdapat pertindihan nombor kad pengenalan,” katanya.

“PSMB akan memastikan penambahbaikan berterusan bagi menjamin tatakelola baik agar mandat agensi untuk pembangunan modal insan negara dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.

Mengenai Laporan Ketua Audit Negara Siri 2 2024 dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) yang dibentangkan di Parlimen hari ini, Abu Huraira berkata beberapa tindakan penambahbaikan telah dilaksanakan berikutan teguran audit tersebut.

Beliau berkata prestasi kutipan levi telah meningkat daripada RM475 juta pada 2020, RM848 juta (2021), dan RM1.809 bilion (2022) kepada RM2.133 bilion pada 2023, dengan kutipan levi yang rendah pada 2020 dan 2021 akibat pandemik COVID-19.

“Peratusan penggunaan levi juga mencatatkan peningkatan daripada 63 peratus (2020), 32 peratus (2021) dan 42 peratus (2022) kepada 71 peratus (2023). Peratusan ini merujuk kepada levi yang telah dibayar.

“Sekiranya levi yang telah diluluskan dan belum dibayar (bayaran hanya dibuat selepas latihan) diambil kira, maka peratusan penggunaan levi pada 2023 mencecah 83 peratus. Keuntungan sebelum cukai juga meningkat daripada RM25.8 juta (2020), RM12.1 juta (2021) dan RM29.8 juta (2022) kepada RM97.5 juta pada 2023,” katanya.

Beliau berkata PSMB juga berjaya mengutip tunggakan sebanyak RM96.27 juta pada 2023 berbanding RM34.36 juta (2020), RM52.34 juta (2021) dan RM81.78 juta (2022) hasil daripada usaha memperkuat Jabatan Inspektorat Pematuhan dan Penguatkuasaan serta mewujudkan pasukan petugas khas tahun lepas.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS