Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MMA: Pegawai pemulihan dadah bukan doktor
Diterbitkan:  Jul 4, 2024 9:08 PM
Dikemaskini: 1:08 PM

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mengulangi gesaan kumpulan masyarakat sivil agar kerajaan menangguhkan Rang Undang-undang Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 sehingga perundingan dan perubahan lanjut dibuat.

MMA menyorot kekurangan penglibatan pakar perubatan di pelbagai peringkat proses pemulihan dadah yang dicadangkan, walaupun penyalahgunaan dan ketagihan bahan menjadi isu perubatan.

“Memandangkan banyak kebimbangan ini termasuk kebimbangan yang diketengahkan oleh ramai pakar lain, kami menggesa kerajaan untuk menangguhkan rang undang-undang itu sehingga penglibatan sewajarnya diadakan dengan pihak berkepentingan. Kami ingin menyatakan bahawa Kementerian Dalam Negeri tidak berunding dengan MMA berhubung rang undang-undang itu.

“Pertimbangan teliti dan penghalusan oleh jawatankuasa khas diperlukan sebelum rang undang-undang itu diluluskan,” kata Presiden MMA Dr Azizan Abdul Aziz dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail membentangkan pindaan itu untuk bacaan kali pertamanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Ia bertujuan untuk meluaskan skop undang-undang sedia ada untuk meliputi bentuk penyalahgunaan bahan lain. Saifuddin berkata bacaan kedua dan ketiga rang undang-undang itu dijadualkan untuk mesyuarat parlimen semasa, iaitu sebelum 18 Julai.

Bagaimanapun, MMA berkata pihaknya bimbang dengan Seksyen 6(2) rang undang-undang itu, yang memberi kuasa kepada majistret untuk memerintahkan penagih menjalani pemulihan sehingga dua tahun.

Ini selepas majistret menerima cadangan daripada pegawai pemulihan, dan selepas memberi peluang kepada penagih membuat representasi.

Undang-undang yang dicadangkan mentakrifkan pegawai pemulihan sebagai mana-mana pegawai yang dilantik di bawah Seksyen 5 Akta Agensi Antidadah Kebangsaan 2004, bermakna setiap pegawai AADK selain ketua pengarahnya.

Azizan berkata majistret mesti mendapatkan cadangan daripada doktor yang mempunyai latihan khusus, bukannya pegawai pemulihan, sebelum memutuskan tempoh rawatan dan pemulihan.

Tambahnya, rawatan mesti diuruskan oleh ahli psikologi atau pakar psikiatri, yang juga memerlukan latihan khusus untuk menguruskan ketagihan.

“Kami ingin menekankan bahawa ketagihan adalah keadaan perubatan dan kesihatan. Pegawai pemulihan bukan doktor dan oleh itu tidak layak untuk memberikan cadangan pakar mengenai pengurusan penagih,” kata Azizan.

[Baca laporan penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS