Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Exco: Ada cadangan PJD Link baru, masih perlu persetujuan awam
Diterbitkan:  Jul 4, 2024 5:44 PM
Dikemaskini: 10:07 AM

Exco kerajaan negeri Selangor hari ini mengesahkan terdapat cadangan baru untuk lebuh raya Laluan Penyuraian Trafik Petaling Jaya (PJD Link) yang dibatalkan sebelum ini.

Bagaimanapun, walaupun rancangan itu mengandungi penambahbaikan yang "kelihatan bagus", ahli exco negeri Izham Hashim berkata bahawa pemaju masih memerlukan kelulusan awam melalui penilaian impak sosial (SIA) yang baru.

“Ini syarat yang kita kenakan kepada pemegang konsesi projek lebuh raya itu.

“Mereka mesti melibatkan diri dan mendapatkan maklum balas daripada penduduk terjejas yang tinggal di kawasan di mana perubahan dan penambahbaikan dibuat untuk cadangan pembinaan lebuh raya melalui SIA.

“Kami ingin tahu sama ada rakyat menerima perubahan dan penambahbaikan yang dilakukan,” katanya seperti dilapor NST.

Dia berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Rajiv Rishyakaran (Pakatan Harapan-Bukit Gasing) di DUN Selangor hari ini.

Izham, yang memegang portfolio infrastruktur awam negeri, berkata cadangan baru itu termasuk penambahbaikan mitigasi di enam kawasan yang menimbulkan bantahan orang ramai sebelum ini.

Dua berkata Majlis Tindakan Ekonomi Selangor juga akan mengkaji semula jika cadangan baru itu memenuhi semua keperluan yang ditetapkan negeri.

Kerajaan negeri Selangor menolak cadangan PJD Link Julai lalu, tetapi pemaju mengemukakan SIA baru empat bulan kemudian.

Bagaimanapun, Putrajaya juga menolak cadangan lebuh raya itu pada April.

Cadangan PJD Link sepanjang 25.4km itu bertujuan untuk menghubungkan lebuh raya Sprint di Damansara ke lebuh raya Bukit Jalil di Bandar Kinrara.

Ia mendapat bantahan oleh kumpulan penduduk, yang menyamakannya dengan projek lebuh raya Kinrara-Damansara Expressway (Kidex) yang telah dibatalkan pada 2015.

Sementara itu, perjanjian konsesi PJD Link yang ditandatangani pada 2022 diselubungi kerahsiaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS