Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Usaha M'sia buru Jho Low tak terjejas oleh penyelesaian DOJ - Johari
Diterbitkan:  Jul 4, 2024 4:08 PM
Dikemaskini: 8:08 AM

Usaha Malaysia untuk menangkap dalang 1MDB yang didakwa Jho Low tidak terjejas oleh penyelesaian yang dicapai ahli perniagaan dalam buruan itu dengan Jabatan Kehakiman AS (DOJ).

Pengerusi pasukan petugas 1MDB Johari Abdul Ghani menjelaskan kedua-dua tindakan itu tidak berkaitan.

"Kamu kena bezakan tindakan Malaysia cari Jho Low satu benda, yang berasingan dengan DOJ.

"DOJ ada dia punya tindakan jenayah dengan Jho Low, dia nak buat apa itu hak dia," katanya pada rakaman video menjawab soalan media terbitan Malaysia Gazette.

DOJ pada minggu lalu mencapai perjanjian dengan Low dan keluarga yang akan menyaksikan pemulangan lebih AS$100 juta aset yang dibeli menggunakan dana 1MDB yang dicuri.

Perjanjian itu dicapai melalui penglibatan dengan proksi Low manakala keberadaan ahli perniagaan itu masih tidak diketahui pada masa ini.

Aset yang diperoleh semula oleh DOJ akan dikembalikan ke Malaysia.

Sementara itu, Johari berkata pertikaian Malaysia dengan Goldman Sachs berhubung pembayaran pemulihan aset 1MDB masih berterusan.

Goldman Sachs telah mengatur tiga bon bernilai AS$6.5 bilion untuk 1MDB dan dana itu kebanyakannya telah diselewengkan.

Susulan itu, pentadbiran pimpinan Muhyiddin Yassin mencapai penyelesaian dengan Goldman Sachs pada 18 Ogos 2020, dengan bank itu bersetuju membayar AS$2.5 bilion dalam tempoh 10 hari dan menjamin AS$1.4 bilion untuk program pemulihan aset.

Pentadbiran kerajaan hari ini sedang berusaha mendapatkan pembayaran AS$1.4 bilion berkenaan.

Goldman pada tahun lepas memfailkan timbang tara mengenai perkara itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS