Di sebalik perbelanjaan RM3.915 bilion untuk projek Sungai Nadi Kehidupan atau River of Life (RoL)River di Lembah Kelang sejak 2011, namun kemungkinan projek itu tidak boleh disiapkan tahun ini dan ia juga dikatakan tidak mencapai objektifnya, kata Jabatan Ketua Audit Negara.
Juruaudit mendapati pelbagai infrastruktur projek berkenaan rosak, manakala kualiti air Sungai Klang masih tidak bersih.
“Semua objektif River of Life masih belum berjaya dicapai terutamanya untuk meningkatkan kualiti air sungai Kelas IIB (yang sesuai disentuh bagi tujuan rekreasi),” kata Ketua Audit Negara, Wan Soraya Wan Mohd Rodzi dalam laporan yang dilancarkan pagi ini.
Projek River of Life dilancarkan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak, dengan dana kira-kira RM4.4 bilion. Ia adalah untuk pembangunan semula sungai-sungai sekitar Lembah Klang.
Dana itu juga bertujuan membersihkan kualiti air sungai dan alirannya sepanjang 110km.
Menurut laporan Jabatan Audit, setakat Julai 2023, sebanyak 12 projek RoL masih dalam peringkat prapelaksanaan, lapan lagi dalam pelaksanaan manakala kontraktor penyiap belum dilantik bagi dua projek setelah ditamatkan kontrak.
Sementara itu, Bernama melaporkan Projek River Of Life (RoL) yang dilancarkan pada 2010 dijangka tidak akan berjaya disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan tahun ini walaupun RM3.915 bilion telah dibelanjakan untuk projek itu, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2 2024.
Menurut laporan itu sehingga Julai tahun lepas lapan projek di bawah RoL masih dalam pelaksanaan dengan kemajuan di tapak antara 21 hingga 97.3 peratus, manakala kontraktor penyiap bagi dua projek yang ditamatkan kontrak sebelum ini belum dilantik, sementara 12 projek lagi masih belum dimulakan.
Analisis audit turut mendapati hanya 79.4 peratus kerja-kerja pengindahan sungai telah disiapkan dan hanya 50 (16.9 peratus) daripada 296 loji rawatan kumbahan berjaya dirasionalisasi atau dinaik taraf.
“Analisis terhadap tempoh projek pula menunjukkan projek lewat disiapkan sehingga melebihi lapan tahun dengan peningkatan kos kepada kerajaan,” menurut laporan itu.
RoL merupakan salah satu projek di bawah Program Transformasi Ekonomi yang diperkenalkan pada tahun 2010, dengan kos siling berjumlah RM4.363 bilion bertujuan mentransformasikan Sungai Gombak dan Sungai Klang kepada ikon waterfront yang dinamik dan berdaya huni dengan nilai ekonomi yang tinggi.
Kawasan RoL merangkumi 110 kilometer Lembangan Sungai Klang dan dijangka siap pada tahun 2024.
Pengauditan juga mendapati kesemua objektif RoL masih belum berjaya dicapai termasuk untuk meningkatkan kualiti air sungai, disebabkan kelemahan dalam aspek perancangan dan pelaksanaan projek serta tahap pematuhan efluen dan kesedaran penjagaan sungai yang masih rendah.
“Hasrat kerajaan untuk mendapatkan pulangan sehingga RM4 bilion bagi membiayai kos pelaksanaan RoL dan mengelakkan penggunaan dana awam juga tidak tercapai kerana hasil penjualan tanah tertakluk kepada pemilik masing-masing,” menurut laporan itu.
Pengauditan juga mendapati model perniagaan yang tidak komprehensif telah menyebabkan penyenggaraan dan aktiviti RoL masih bergantung sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan, menyebabkan aset RoL tidak diselenggara sewajarnya, terbiar, rosak dan tidak dimanfaatkan.
Semakan audit mendapati sehingga November lepas daripada 835 aset pembersihan sungai, 147 aset didapati tidak beroperasi iaitu 80 berpunca dari kerosakan manakala 67 telah dirobohkan dan tidak boleh digunakan.
Laporan penyenggaraan dan lawatan mendapati antara punca kerosakan ialah masalah mekanikal dan elektrik, kecurian kabel, log boom putus dan masalah bekalan elektrik, dengan analisis audit menunjukkan tempoh pembaikan bagi 10 aset adalah antara tiga bulan hingga empat tahun tiga bulan manakala baki 11 kerosakan masih belum dibaiki.
Pengauditan juga menemui kelemahan dalam aspek tatakelola projek merangkumi perancangan, pemantauan perbelanjaan, penyediaan reka bentuk, pelantikan perunding dan pelaksanaan projek
Sehubungan itu laporan berkenaan mengesyorkan antaranya agar Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) menilai semula projek yang masih dalam peringkat pra pelaksanaan, sama ada perlu diteruskan atau tidak dengan mengambil kira aspek peruntukan kewangan.