Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Artikel Malaysiakini berhubung lombong emas di Kelantan bikin Dewan Rakyat kecoh

PARLIMEN l Dewan Rakyat kecoh apabila RSN Rayer (PH-Jelutong) membangkitkan isu perlombongan emas di Kelantan yang disiarkan Malaysiakini sebelum ini.

Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) khususnya dari PAS membantah tindakan Rayer membangkitkan isu berkenaan ketika membahaskan rang undang-undang berhubung pindaan akta audit.

Rayer membangkitkan isu perlombongan emas Akademi Yakin Sdn Bhd (AYSB) yang turut dikaitkan dengan bekas timbalan menteri besar Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah.

Ketika Rayer ingin meneruskan perbahasannya, seorang ahli Parlimen PN bersuara: "Tu Malaysiakini DAP punya".

Ia kemudiannya disusuli bantahan oleh Awang Solahuddin Hashim (PN-Pendang) yang mendakwa apa yang dibawa Rayer bertentangan dengan peraturan mesyuarat.

"Tiada kena mengena (dengan perbahasan), dia budak jahat tu...dia dulu dia hentam Umno, sekarang dia bersama dengan Umno," kata Awang Solahuddin.

Syahir Sulaiman (PN-Bachok) kemudiannya membangkitkan peraturan mesyuarat dengan mendakwa isu dikaitkan Rayer tidak mempunyai kaitan dengan pindaan RUU berkenaan.

"Peraturan mesyuarat 36 (1) seseorang ahli Dewan apabila membahaskan rang undang-undang yang meminta akta induk hanya perkara-perkara berkaitan rang undang-undang itu sahaja.

"Fasal mana dalam rang undang-undang ini...melencong (daripada tujuan perbahasan)," kata Syahir.

Malah, beberapa orang ahli Parlimen PN yang lain turut bangkit mempersoalkan isu dibawa Rayer yang didakwa "berniat jahat".

Rayer yang cuba meneruskan ucapan perbahasan "diganggu" oleh ahli Parlimen PN sehingga memaksa Timbalan Speaker Alice Lau Kiong campur tangan.

Khlir Mohd Nor (PN- Ketereh) turut mencecah dengan nada tinggi menyifatkan kenyataan Rayer sebagai penghinaan kepada negeri Kelantan.

"Kau hina Kelantan," pekik Khlir yang mencetus teguran daripada timbalan speaker.

Tan Kar Hing (PH- Gopeng) bagaimanapun tampil mempertahankan pendedahan Rayer yang memetik artikel Malaysiakini.

Tan merujuk kenyataan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) semalam yang memetik surat layang tanpa sumber membuat dakwaan berhubung dalang penjualan saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada syarikat berkaitan BlackRock di Dewan Rakyat semalam.

"Tadi you kata dari Facebook, semalam surat layang, kami  sabar. Sekarang kenapa sakit hati dengan laporan Malaysiakini, tunggulah, dengarlah," katanya.

Kekecohan berlanjutan sehingga giliran Ahli Parlimen Pendang berbahas dan Lau kemudiannya membuat keputusan untuk menangguhkan persidangan ke esok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS