Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
NGO bidas kenyataan Saifuddin mengenai kematian dalam tahanan
Diterbitkan:  Jul 2, 2024 6:00 PM
Dikemaskini: 10:00 AM

Sebuah kumpulan hak asasi manusia menyangkal dakwaan Saifuddin Nasution Ismail bahawa tiada kematian dalam tahanan direkodkan berpunca daripada pihak polis sejak dia mengambil alih jawatan Menteri Dalam Negeri lebih setahun lalu, dengan mengatakan hanya Mahkamah Koroner boleh memutuskan perkara itu.

Pengerusi bersama Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict), M Visvanathan berkata menteri itu 'mengarut' apabila menunjukkan sikap kurang hormat terhadap undang-undang negara.

"Tiada inkues dijalankan. Siapa yang memberi mandat kepada menteri untuk menyatakan sebab dan punca kematian? Tidak layak jadi Menteri Dalam Negeri.

"Ia menjengkelkan kerana sepatutnya mahkamah koroner, bukan dia (sepatutnya membuat keputusan)," kata peguam itu kepada Malaysiakini.

Visvanathan sebelum ini mewakili pihak keluarga yang mengambil tindakan mahkamah berhubung kes-kes kematian dalam tahanan.

Dalam pada itu dia turut mempersoalkan berapa banyak kes kematian tahanan yang disebut Saifuddin telah menjalani inkues dan keputusannya dikeluarkan.

"Ini menteri paling tidak bertanggungjawab terhadap keluarga tahanan," tambahnya.

Semalam Saifuddin memberitahu Dewan Rakyat bahawa semua kematian yang direkodkan di penjara, lokap polis dan depoh tahanan Jabatan Imigresen sejak 2022 adalah berkaitan masalah kesihatan.

Saifuddin mendedahkan sebanyak 24 kematian direkodkan di lokap polis antara 2022 dan Mei tahun ini akibat masalah kesihatan, seperti Covid-19, batuk kering, serangan jantung dan radang paru-paru, manakala 40 banduan meninggal dunia di penjara.

Menurutnya, tiada seorang pun daripada mereka meninggal dunia akibat bunuh diri atau akibat kecederaan yang dilakukan oleh anggota polis.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS