Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Sememangnya PAS punya ramai calon yang layak'
Diterbitkan:  Jul 2, 2024 2:43 PM
Dikemaskini: 6:44 AM

PRK NENGGIRI | Selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan bahawa perlu ada pilihan raya kecil (PRK) dijalankan di Nenggiri, Kelantan pada 28 Jun lalu, Bersatu secara berdiplomasi menyatakan bahawa parti itulah yang sebaiknya meletakkan calon bagi pihak PN.

Ia dinyatakan oleh Presiden Bersatu merangkap Pengerusi PN Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun Kelantan merupakan kubu kuat kepada satu lagi parti komponen PN iaitu PAS. Dan PAS sangat dominan di negeri tersebut sehinggakan watikan untuk calon PN dikeluarkan oleh parti itu pada PRU lalu.

Semalam, salah sayap PAS mengeluarkan kenyataan menyatakan pandangan mereka bahawa calon parti berkenaan wajar diberi peluang meletakkan calon di Nenggiri berbanding Bersatu.

Ketua Pemuda PAS Gua Musang, Mohd Habidin Hanipa, berkata tiada sesiapa boleh menafikan bahawa parti itu mempunyai kekuatan di kawasan Nenggiri dan ia melibatkan semua peringkat.

Justeru kata Mohd Habidin sudah sampai masanya untuk calon PAS diketengahkan dalam PRK Nenggiri nanti.

"Pemuda PAS Kawasan (Gua Musang) juga bersedia mencadangkan calon yang sesuai, dan sememangnya PAS mempunyai ramai calon yang berkelayakan untuk diletakkan dalam PRK DUN Nenggiri," katanya dalam kenyataan media.

Tengku Razaleigh jadi pengarah

Dia juga membayangkan bahawa gerak kerja sayap parti itu akan dimanfaatkan secara maksimum hanya jika PAS diberi jalan meletakkan calon di kerusi tersebut.

"Pastinya Pemuda PAS Gua Musang bersedia dengan 100 peratus komitmen menghadapi PRK DUN Nenggiri dengan syarat calon PAS diberikan peluang bertanding," katanya.

Kerusi DUN Nenggiri diisytiharkan kosong oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 19 Jun lalu ekoran notis yang diberikan oleh Bersatu yang melakukan pindaan perlembagaan sebelumnya.

Adun Nenggiri Mohd Azizi Abu Naim - yang sebelum ini mengumumkan menyokong kerajaan perpaduan - kemudian merujuk kepada mahkamah untuk mendapatkan perintah bagi menghalang PRK diadakan.

Mohd Azizi Abu Naim

Bagaimanapun pada 27 Jun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Mohd Azizi dan sehari kemudian SPR bermesyuarat untuk menentukan perjalanan PRK.

SPR mengumumkan hari penamaan calon dilangsungkan pada 3 Ogos sebelum diikuti hari mengundi awal pada 10 Ogos.

Hari pengundian penuh pula ditetapkan pada 17 Ogos.

Untuk rekod Nenggiri merupakan salah satu kawasan DUN di bawah parlimen Gua Musang. Selain Nenggiri dua lagi kawasan DUN di situ ialah Paloh dan Galas.

Mohd Azizi sebelum ini memenangi kerusi DUN Nenggiri dengan mengalahkan calon BN, Ab Aziz Yusoff dengan perbezaan 810 undi. Secara tradisinya kerusi Nenggiri memang kubu kuat Umno-BN.

Selain Nenggiri Mohd Azizi juga merupakan ahli parlimen Gua Musang. Pada PRU ke-15 lalu dia menumbangkan Tengku Razaleigh Hamzah dengan majoriti 163 undi.

Untuk PRK Nenggiri bulan depan, Umno melantik Tengku Razaleig sebagai pengarah pilihan raya parti itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS