Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lelaki mohon pengisytiharan sebagai Sikh, tak pernah beragama Islam

Mengaku dibesarkan dalam kepercayaan Sikh sejak kecil, seorang lelaki merujuk mahkamah sivil untuk membuat pengisytiharan bahawa dia tidak pernah beragama Islam.

Lelaki berusia 28 tahun itu memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Dis tahun lepas, berhubung dakwaan bahawa dia dibesarkan sebagai seorang Sikh oleh arwah ibunya yang mualaf.

Bagaimanapun, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah memohon untuk membatalkan saman itu tanpa dikenakan perbicaraan penuh, dengan alasan hanya Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk menentukan status agama lelaki itu.

Menurut afidavit lelaki itu, dia menjelaskan bahawa ibunya, yang meninggal dunia pada 17 Nov 2007, pada mulanya adalah seorang Sikh yang memeluk Islam selepas berkahwin dengan bapanya, seorang Muslim dari Pakistan, pada 8 Ogos 1993.

Lelaki itu berkata dia dilahirkan di Malaysia pada 25 Jun 1996, tetapi ibunya terus membesarkannya sebagai seorang Sikh, dan dia terus diajar Sikh pada zaman kanak-kanaknya oleh bapa saudaranya.

Penduduk di Setapak, Kuala Lumpur itu berhujah bahawa dia tidak tertakluk kepada undang-undang Islam kerana tidak pernah menganut agama itu dan didikan di rumah adalah mengikut kepercayaan dan doktrin Sikh.

"Sehingga hari ini, saya masih mengamalkan agama Sikh dan kerap melawat kuil Sikh bersama bapa-bapa saudara dan keluarga saya dan juga meraikan semua perayaan-perayaan dan upacara keagamaan Sikh seperti Vaisakhi, Gurpurab, Akand Paath, Bandi Chor Divas dan Lohri

“Saya tidak pernah menganut Islam secara rela pada bila-bila masa. Saya tidak pernah berdoa mengikut agama Islam atau melawat masjid.

“Saya tidak pernah merayakan mana-mana perayaan umat Islam atau mengamalkan apa-apa kepercayaan Islam, termasuk hanya mengambil makanan atau minuman halal dan berpuasa.

"Sebaliknya, saya biasanya akan menjadi vegetarian setiap kali saya melawat kuil atau sebelum perayaan Sikh," kata lelaki itu dalam pemfailan yang dilihat oleh Malaysiakini.

Pemohon berpendapat bahawa Butiran 1 di bawah “Senarai II-Senarai Negeri” Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa undang-undang Islam hanya terpakai kepada orang yang “rela menganut agama Islam”.

“Sepanjang hidup saya, apabila dipanggil untuk membuat pengisytiharan lisan tentang agama pilihan saya, saya sentiasa menjawab ‘Sikhisme’.

"Saya menyatakan bahawa reputasi umum saya di kalangan rakan dan keluarga saya ialah saya seorang Sikh.

“Saya juga menyatakan walaupun terpaksa mengambil Pendidikan Islam di sekolah, saya tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebaliknya berhenti belajar kerana saya sama sekali tidak berminat untuk mengambil Pendidikan Islam sebagai mata pelajaran dalam peperiksaan SPM. .

“Berdasarkan pemahaman dan penghargaan saya terhadap agama Sikh, saya mempunyai iman terhadap kepercayaan dan doktrin agama Sikh, dan menganggap Sikhisme sebagai satu-satunya jalan saya untuk kesejahteraan rohani, ketenangan fikiran, dan kebahagiaan peribadi.

“Saya menekankan bahawa saya berhasrat untuk mengekalkan iman dan kepercayaan saya terhadap Sikhisme dan terus mengakui dan mengamalkan agama Sikh.

“Saya tidak boleh, dan tidak akan, dalam apa jua keadaan menarik balik atau meninggalkan kepercayaan agama Sikh saya atau memeluk mana-mana agama lain. Saya juga tidak boleh dan tidak akan menerima pakai mana-mana sistem kepercayaan atau doktrin lain.

“Saya menegaskan hak saya untuk mengamalkan agama Sikh seperti yang dijamin di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

"Ini juga merupakan hak asasi manusia seperti yang dinyatakan dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta pelbagai instrumen hak asasi manusia yang lain," kata lelaki itu.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS