Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sistem panggilan kecemasan NG999 ganti MERS999

Sistem panggilan kecemasan baru negara, Next Generation Emergency Services (NG999) dilancarkan hari ini bagi menggantikan Malaysian-Emergency Responses 999 (MERS999).

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata NG999 adalah sistem digital strategik bersepadu yang akan meningkatkan perkongsian sumber dan data antara pusat panggilan kecemasan dan agensi pusat berkaitan, sekali gus meningkatkan kecekapan perkhidmatan kecemasan.

"Tempoh konsesi sepanjang 12 tahun. (Dalam tempoh ini) satu tahun adalah untuk fasa pembangunan dan 11 tahun untuk mengurus perkhidmatan. NG999 juga memanfaatkan teknologi canggih termasuk analisis data dan kecerdasan buatan (AI) untuk menyampaikan bantuan kecemasan dengan lebih berkesan.

"Sistem panggilan kecemasan baru ini dijangka beroperasi selewat-lewatnya tahun depan,“ katanya pada sidang media selepas menyaksikan pertukaran nota perjanjian NG999 antara Kementerian Komunikasi dan TM di Kuala Lumpur hari ini.

Perjanjian baru antara kerajaan dan TM itu ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Naib Presiden Eksekutif TM One Shazurawati Abd Karim.

Teo berkata sistem baru ini menyepadukan peta digital berasaskan web, ID pemanggil, perkhidmatan geolokasi, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan aplikasi pintar mudah alih ke dalam pengendalian insiden kecemasan yang bakal memberikan bantuan yang lebih cekap di seluruh negara.

Beliau berkata sistem NG999 akan diperluaskan kepada lebih 800 lokasi seluruh negara iaitu peningkatan sebanyak dua kali ganda daripada jumlah lokasi di bawah MERS999 sedia ada.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM Amar Huzaimi Md Deris berkata TM juga akan memperkenalkan aplikasi baru untuk NG999 yang membolehkan penggunaan teks, foto, dan video untuk pengguna berdaftar.

"Ini akan meningkatkan mutu komunikasi antara pemanggil dengan petugas bantuan kecemasan, yang sekali gus mempercepat saluran perkhidmatan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Teo memaklumkan MERS999 telah menerima kira-kira 15,000 hingga 16,000 panggilan palsu setiap bulan, setakat bulan lalu.

"Sebenanrnya ia (jumlah panggilan palsu) telah menurun kalau dibandingkan dengan tahun 2022 di mana satu bulan prank call adalah setinggi 31,000 dan tahun lepas menurun kepada kepada 19,000 panggilan sebulan.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS