mk-logo
Berita
M'sia tidak akan ratifikasi konvensyen PBB antiseksaan buat masa ini

PARLIMEN | Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail hari ini berkata Malaysia tidak akan meratifikasi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Penyeksaan (UNCAT) buat masa ini kerana ia memerlukan pindaan lanjut terhadap undang-undang sedia ada.

Saifuddin menjawab isu yang dibangkitkan oleh ahli parlimen yang membahaskan laporan tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Jelasnya, konvensyen PBB itu melarang sesebuah negara daripada menggubal undang-undang dengan hukuman yang mempunyai unsur "kesakitan yang teruk."

"Adakah akan ratifikasi UNCAT? Buat masa ini tidak.

"Kalau ratifikasi UNCAT, ada seksyen tertentu jelas menyebut bahawa undang-undang negara kita tidak boleh ada elemen sebabkan severe pain (kesakitan yang berat).

"Sedangkan akta (jenayah) kita ada sebatan. (Undang-undang) syariah pun ada sebatan. Sebatan ni sakit lah.

"Kalau sakit itu pun tidak boleh maka kalau meterai (UNCAT) maka akta sedia ada kena pinda banyak.

"Buat masa ini tidak (akan ratifikasi)," katanya memberitahu sidang Dewan Rakyat.

Antara lain, hukuman sebatan diperuntukkan untuk jenayah rogol di bawah Kanun Keseksaan serta pengedaran dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Saifuddin turut menjawab perbahasan ahli parlimen mengenai isu yang diketengahkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengenai pengurusan pelarian dan hubungan kerajaan dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

Memandangkan Malaysia kekal tidak menandatangani Konvensyen Pelarian PBB 1951, Saifuddin berkata hubungan kerja sedia ada yang terjalin sejak era Perang Vietnam untuk UNHCR membantu penempatan semula pelarian.

“Dari segi dasar, Majlis Keselamatan Negara telah membuat keputusan.

"Sementara mereka (pelarian) berada di sini, mereka juga manusia dan kita mesti mengambil kira aspek kebajikan mereka, selain faktor keselamatan. Perlu ada keseimbangan," katanya.

Tambahnya, kerajaan turut mempertimbangkan untuk mengambil pelarian bekerja di sektor yang ditetapkan, contohnya perladangan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS