Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K’jaan dalam perancangan bina 18 loji WTE menjelang 2040 - Nga
Diterbitkan:  Jul 1, 2024 2:03 PM
Dikemaskini: 6:03 AM

Kerajaan dalam perancangan untuk membina 18 loji memproses sisa pepejal kepada tenaga atau Waste to Energy (WTE) di Semenanjung menjelang 2040, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini. 

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata teknologi WTE yang kini diguna pakai di beberapa negara terbukti berkesan dalam mengurangkan jumlah sisa pepejal yang perlu dihantar ke tapak pelupusan. 

Beliau berkata teknologi itu selamat digunakan di Malaysia kerana loji WTE beroperasi pada suhu tinggi yang konsisten serta dilengkapi dengan sistem rawatan gas serombong yang mampu merawat gas berbahaya daripada dilepaskan ke alam sekitar. 

“Tambahan pula teknologi terkini tidak memerlukan keluasan tanah yang besar, tidak menghasilkan air larut resap (leachate), bau busuk dan gas metana yang memberi impak negatif kepada kesihatan masyarakat dan alam sekitar. Sehubungan dengan itu, konsep WTE ini adalah antara pilihan terbaik untuk persekitaran dan kesejahteraan rakyat.

“Mengikut kaji selidik Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, pembangunan loji WTE mampu menjana tenaga boleh baharu sebanyak 600 megawatt,” katanya pada sesi soal jawab lisan di sini.

Nga berkata demikian ketika menjawab soalan Sim Tze Min (PH-Bayan Baru) mengenai senarai 18 lokasi pembinaan loji WTE di seluruh negara termasuk di Pulau Pinang.

Beliau berkata loji WTE akan dibina di Kedah (Jabi dan Padang Cina), Johor (Bukit Payung, Seelong, Sedili), Pahang (Jabor – Jerangau, Belenggu), Melaka (Sungai Udang), Kuala Lumpur (Rawang), Selangor (Jeram, Tanjung 12, Rawang 2), Pulau Pinang (Pulau Burung), Perak (Lahat, Taiping dan Manjung), Terengganu (Tertak Batu) dan Kelantan (Jedok). 

“Pembinaan WTE berkenaan masih pada peringkat perancangan dan pelaksanaannya tertakluk pada kemampuan kedudukan fiskal kewangan kerajaan serta kemampanan model WTE yang ditawarkan,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) berhubung pelan untuk membangunkan sistem pusat pengurusan sisa pepejal bersepadu, Nga berkata kerajaan akan mewujudkan 100 pusat kutipan bahan kitar semula pada tahun ini, terutamanya di kawasan bandar. 

“Kita akan memperluas supaya semua pusat bandar khususnya pusat beli-belah akan mempunyai pusat kitar semula pandu lalu dan usaha untuk membantu memberikan kesedaran kepada orang ramai memang dialu-alukan untuk meningkatkan kadar kitar semula negara daripada 33 peratus menjadi 40 peratus menjelang 2025,” katanya. 

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS