Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM: Meritokrasi matrikulasi redakan ketegangan kaum

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memperjelas keputusan kerajaan supaya pelajar bukan Melayu yang mendapat keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 10 A dan ke atas layak melanjutkan pengajian ke peringkat matrikulasi.

Katanya, ia menandakan satu langkah penting untuk meredakan ketegangan kaum yang dihadapi oleh Kementerian Pendidikan.

"Jadi reda sedikit suhu ketegangan yang hampir tiap tahun Kementerian Pendidikan terpaksa hadapi.

"Dalam hal-hal yang sebegini kadang-kadang pembenturannya itu menghangatkan suhu politik dan mengakibatkan ketegangan kaum dan sosial.

"Jadi mudah-mudahan (keputusan) itu dapat membantu," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan perdana menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya.

Matrikulasi berfungsi sebagai program prauniversiti kerajaan yang menawarkan alternatif kepada STPM.

Program itu memperuntukkan 90 peratus tempatnya kepada pelajar bumiputera dan baki 10 peratus lagi untuk bukan Melayu.

Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan pelarasan ini tidak menjejaskan kuota bumiputera berikutan jaminan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, kerajaan mengambil maklum kebimbangan mengenai penafian hak minoriti dan persoalan mengenai jaminan bumiputera, terutama bagi mereka yang kurang bernasib baik akibat kemiskinan luar bandar atau bandar.

"Jadi kena ingat sementara kita setuju prinsip meritokrasi kita juga akan pertahankan prinsip keadilan dan justice is fairness. Kalau kita tekankan merit saja maka orang yang terpinggir yang miskin kekal dalam keadaan sedemikian.

"Kita sebagai kerajaan apalagi Madani harus lebih prihatin. Mahu negara ini maju bermakna kita mesti pertahankan meritokrasi.

"Yang terbaik yang terpintar yang tercemerlang harus diberi galakan tetapi jangan dipinggirkan yang miskin dan terpinggir.

"Saya tidak mahu apologetik dalam mempertahankan ini," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS