Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengingatkan semua pihak agar tidak ‘keterlaluan’ dalam membahaskan polemik berkaitan isu Blackrock.
Beliau berkata sebarang polemik berkaitan isu berkenaan yang dikaitkan dengan rejim Israel boleh menjejaskan kepentingan Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang berkembang.
Berucap pada Majlis Perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Julai di Putrajaya Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan keberadaan syarikat gergasi pelaburan itu di Malaysia sejak sekian lama bagaimanapun tidak ‘menghalang’ pendirian Malaysia dalam menyuarakan isu kekejaman rejim Israel terhadap penduduk di Gaza, Palestin.
“Dalam sejarah dan ketimbang dengan negara lain, kita (Malaysia) antara paling jelas dan keras, jangan tuntut lebih dari itu. Kita ini negara berkembang, tengok tahap keupayaan kita, jangan kerana nafsu serakah nak tunjuk hebat, kita rosakkan kepentingan negara, itu prinsip secara umumnya.
“..dan kezaliman Israel ke atas Palestin adalah sangat jelas, tiada siapa yang pertikai. (Tapi) Kalau ada syarikat Microsoft ke, Google ke tunjuk simpati pada Israel kita memang tentang, (namun) apakah saudara fikir kita harus tutup semua laluan dan kerjasama dengan mereka?” katanya.
Sebelum ini dilaporkan semakan data menunjukkan BlackRock sudah mempunyai kepentingan dan pegangan saham dalam syarikat senaraian awam di Bursa Malaysia bernilai RM24.7 bilion dan RM7.9 bilion dalam bon kerajaan dan korporat Malaysia.
Data yang boleh diperoleh secara terbuka itu juga menunjukkan sehingga Mei 2024, firma pelaburan global itu sudah sedia ada memiliki pelaburan dalam ekuiti, dalam 100 syarikat tersenarai di Malaysia yang merangkumi keseluruhan sektor industri, dengan tiga institusi perbankan di negara ini.
Anwar berkata pada 2018, Perdana Menteri ketika itu (Tun Dr Mahathir Mohamad) di London pernah menekankan keperluan firma itu masuk ke Malaysia manakala pada 2021, Perdana Menteri ketika itu (Tan Sri Muhyiddin Yassin) meluluskan cadangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menyerahkan kepada Blackrock untuk menguruskan dana khas KWSP RM600 juta.
Mengenai kerjasama Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan KWSP bersama Global Infrastructure Partners (GIP) berhubung kepentingan dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Perdana Menteri berkata kerjasama antara KWSP dan GIP sudah bermula sejak 2012.
“Sebab itulah Khazanah dan KWSP berunding dengan GIP, lapangan terbang kita ada kebaikannya dan kekuatannya tetapi ketimbang lapangan terbang besar lain, ada banyak kelemahannya terutama dari segi kejuruteraan, pakar teknikal, pengurusannya.
“Ada ruang yang harus diperbaiki kerana kita sudah agak ketinggalan, perancangannya dan pelbagai lagi, keputusan Khazanah dan KWSP kemudian mereka maklumkan kepada saya dan saya kata teruskan,” katanya.
Sebelum ini Anwar dilaporkan berkata penjualan pegangan saham dalam MAHB kepada GIP telah melalui syarat yang ketat dan antara merit pemilihannya adalah berikutan persetujuan syarikat itu untuk mengekalkan pelantikan warganegara Malaysia sebagai Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAHB dan pemilikan kolektif saham majoriti milik negara.
Anwar berkata selain GIP pihak lain tidak bersetuju dengan syarat yang ditetapkan oleh Khazanah dan KWSP.
GIP merupakan pelabur infrastruktur terkemuka yang menguruskan aset bernilai US$112 bilion bagi pihak pelaburnya yang merangkumi kira-kira 500 institusi pelaburan di seluruh dunia.
- Bernama