BN akan terus bekerjasama dengan PH bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), kata Pengerusinya Ahmad Zahid Hamidi.
Bagaimanapun Ahmad Zahid berkata BN dan PH masing-masing akan bertanding menggunakan lambang sendiri pada pilihan raya itu.
“Insya-Allah PRU akan datang kita akan gunakan lambang Barisan Nasional. Ini bukan bererti kita lari daripada kesepakatan Kerajaan Perpaduan. Maksudnya PH boleh tanding guna lambang PH dan kita tanding dengan lambang kita, tapi dari segi kerjasama, kita jalinkan.
“Asalkan kawasan yang kita bertanding itu tidak ditandingi oleh mereka, dan kita tidak bertanding di kawasan yang mereka tanding itu,” katanya dipetik Bernama hari ini.
Tidak jelas sama ada perjanjian telah dicapai antara kedua-dua gabungan itu atau sebaliknya.
PH dan BN sebelum ini mengetepikan permusuhan mereka untuk membentuk kerajaan persekutuan susulan keputusan pilihan raya umum ke-15.
Sebelum ini, terdapat cakap-cakap bahawa kerjasama berkenaan akan diteruskan, namun persoalan apakah gabungan itu akan meneruskan kerjasama pada PRU16 masih belum dapat dipastikan.
Pada Mac lalu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya masih belum membuat keputusan berhubung perkara itu.
Kedua-dua gabungan itu bekerjasama pada enam pilihan raya negeri tahun lalu, di mana BN menunjukkan prestasi buruk di kebanyakan kerusi kecuali di Negeri Sembilan.
BN juga mencatatkan kekalahan teruk di Kedah dan Terengganu.
Kedua-dua gabungan itu juga bekerjasama pada beberapa pilihan raya kecil, termasuk pilihan raya kecil Sungai Bakap yang diadakan sekarang.